Bahasa Melayu version
1. Terima kasih Tan Sri Speaker kerana izinkan Puchong untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan ini.
2. Pertama sekali, Puchong ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan pihak Kerajaan atas pembentangan Belanjawan MADANI Kelima.
3. Ini adalah satu belanjawan di mana disiplin fiskal dan penjimatan subsidi yang berani diimbangi dengan pembahagian kek ekonomi yang lebih adil dan saksama.
4. Selama ini, kita sentiasa mendengar rungutan golongan M40 bahawa mereka sentiasa dilupai dalam belanjawan tahunan.
5. Mereka berpendapatan terlalu tinggi untuk menerima bantuan tunai bersasar, tetapi terlalu terbeban untuk menyerap inflasi kos sara hidup terutamanya mereka yang hidup di kawasan bandar.
6. Justeru, Puchong amat menyambut baik bahawa Belanjawan 2027 ini membawa anjakan paradigma yang nyata.
7. Melalui lapan lunas utamanya, kerajaan memperkenalkan dasar yang memanfaatkan kedua-dua B40 dan M40 secara menyeluruh.
8. SARA, BUDI 95 300L, kenaikan aras perlindungan tarif elektrik domestik sehingga 800 kWj sebulan dan selepas lebih 15 tahun tidak disemak, had pelepasan asas individu akhirnya dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
9. Sepanjang beberapa hari ini, Puchong menerima maklum balas yang cukup positif daripada golongan M40 yang menyatakan bahawa “the government finally see us”! Syabas dan tahniah kepada pihak kerajaan.