Bahasa Melayu Version
1. Isu seterusnya yang saya ingin bangkitkan juga berkenaan dengan pintu masuk negara.
2. Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, pada 26 Ogos 2026, Disney Cruise telah membuat pengumuman di mana Langkawi secara rasmi dipilih sebagai pelabuhan persinggahan baharu (new port of call) bagi kapal Disney Adventure (pakej 5 hari 4 malam) bermula 31 Disember 2026.
3. Ini adalah peluang keemasan untuk bagi industri pelancongan di Langkawi.
4. Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, Disney membawa sekitar 6,000 hingga 6,700 penumpang bagi setiap pelayaran, dengan anggaran 25 hingga 30 kali singgahan setahun ke Langkawi.
5. Ini bermakna kita berpotensi menerima kehadiran antara 150,000 hingga 200,000 pergerakan pelancong setahun melalui kerjasama ini.
6. Sekiranya setiap pelancong berbelanja secara sederhana antara RM250 hingga RM400 untuk makanan, kraf tangan, pengangkutan, dan cenderamata, kita sedang melihat potensi suntikan ekonomi langsung bernilai RM35 juta hingga RM80 juta setahun terus ke dalam poket peniaga kecil, pemandu teksi, dan pengusaha tempatan Langkawi.
7. Namun persoalan pokoknya, adakah pelancong ini akan turun berbelanja, atau sekadar kekal di atas kapal?
8. Sekiranya mereka yang memilih untuk turun terpaksa beratur panjang di kaunter imigresen dan kemudiannya tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang teruk, skor kepuasan mereka akan jatuh dan jumlah penumpang yang mahu turun pada pelayaran seterusnya akan merosot.
9. Sebaliknya, jika pengalaman di darat lancar, pantas, dan mengagumkan, ia bukan sahaja menggalakkan perbelanjaan darat yang maksimum, malah mendorong Disney Cruise Line menambah kekerapan singgahan ke Langkawi.
10.Oleh itu, Puchong menggesa Jabatan Imigresen memastikan proses disembarkation berjalan pantas dengan tempoh pelepasan yang minimum. Setiap 30 minit yang kita jimatkan di pintu masuk imigresen adalah 30 minit masa tambahan untuk mereka berbelanja di kedai-kedai tempatan kita.
11. LADA dan PDRM juga mesti menyediakan pelan penyuraian trafik darat yang sistematik di jeti Porto Malai, menyediakan perkhidmatan shuttle bus berkekerapan tinggi serta memanfaatkan bot-bot ekskursi air bagi menyuraikan lonjakan penumpang dari laut terus ke destinasi tarikan utama.
12. Lebih daripada itu, Tan Sri Speaker, kita tidak boleh berpuas hati sekadar menjadi pelabuhan persinggahan (port of call).
13. Puchong menggesa MOTAC memulakan rundingan strategik bersama Disney Cruise Line untuk meneroka potensi menjadikan Langkawi sebagai pelabuhan pendaftaran naik dan turun rasmi (full embarkation and disembarkation port).
14. Bayangkan limpahan ekonominya, Tan Sri Speaker.
15. Pelancong yang memulakan atau menamatkan pelayaran di Langkawi akan menginap beberapa hari sebelum atau selepas pelayaran (pre-cruise or post-cruise beach holiday).
16. Ini menawarkan tarikan percutian tropika yang unik dan melengkapi persekitaran metropolitan Singapura, sekali gus memanjangkan tempoh penginapan pelancong (length of stay), melonjakkan kadar hunian resort dan hotel tempatan, serta mengalirkan limpahan hasil yang besar kepada sektor runcit pulau.
17. Malah ada di antara mereka juga akan keluar dari Langkawi ke destinasi-destinasi Malaysia yang lain dan memanfaatkan industri pelancongan secara keseluruhannya.
18. Namun, jika kita mahu Langkawi bersedia sebagai pelabuhan embarkation dan disembarkation pada masa hadapan, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mesti dinaik taraf secara komprehensif.