Monday, March 2, 2026

Parliamentary Debate on The Constitution (Amendment) Bill 2026 - To cap the Prime Minister's term at 10 years

Bahasa Melayu version  


1.    
Terima kasih Tuan Speaker izinkan Puchong untuk menyertai perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

2.    Puchong menyokong penuh pindaan ini atas 3 sebab utama.

3.    Pertama, pindaan ini boleh membantu mencegah skandal mega yang berkali-kali menghantui negara kita.

4.    Sejarah dunia membuktikan bahawa absolute power corrupts absolutely.

5.    Kuasa yang terlalu lama tanpa had adalah "baja" kepada korupsi, kronisme, dan nepotisme.

6.    Apabila seorang pemimpin berada di puncak terlalu lama, mereka cenderung membina rangkaian "entrenched interests" yang menguasai kontrak-kontrak kerajaan.

7.    Selain itu, juga akan wujudnya tanggapan bahawa pemimpin tersebut akan terus berkuasa dan terus menjadi pemutus utama dalam lantikan jawatan-jawatan utama institusi semak dan impang seperti SPRM, Ketua Audit Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan badan kehakiman.

8.    Ini akan meningkatkan risiko di mana institutsi-institusi ini akan dikompromi dan tunduk kepada pemimpin supremo ini. 

9.    Dengan had 10 tahun ini, kita mewujudkan satu natural exit yang memaksa ketelusan dan akauntabiliti. 

10.    Ia memastikan tiada sesiapa pun yang merasa diri mereka untouchable atau lebih besar daripada undang-undang.

11.    Sebab kedua Puchong menyokong pindaan ini ialah ia akan mengalih politik dan pentadbiran kerajaan di Malaysia daripada personality-centric ke institution-centric.

12.    Good leaders come and go or they’ll change, but good institutions remain.

13.    Hanya institusi yang baik dan kukuh yang akan memberi impak berpanjangan kepada negara. 

14.    Jika seseorang pemimpin boleh memegang kuasa tanpa had, fokus beliau lebih cendurung kepada bagaimana untuk membina personanya supaya boleh terus berkuasa.

15.    Sebaliknya, apabila terdapatnya had, mereka akan tumpu perhatian kepada legasi yang mereka ingin tinggalkan selepas 10 tahun melalui reformasi institusi, pindaan undang-undang dan dasar kerajaan.

16.    Sebab ke-3 Puchong sokong pindaan ini adalah mengenai dinamik kepimpinan. 

17.    Kita perlu fresh blood dan idea-idea baharu. 

18.    Sepuluh tahun adalah tempoh yang sangat mencukupi untuk mana-mana pemimpin menterjemahkan visi mereka. Selepas itu, negara memerlukan "oksigen" baharu.

19.    Kita boleh lihat model kejayaan di negara jiran kita, Indonesia.

20.    Selepas era Reformasi, mereka menetapkan had 10 tahun.

21.    Hasilnya? Peralihan kuasa dari Susilo Bambang Yudhoyono ke Jokowi berjalan lancar dan ekonomi mereka melonjak kerana pelabur yakin kepada kestabilan sistem, bukan hanya individu.

22.    Ya, sememangnya ada pemimpin yang berintegriti dan mampu memimpin lebih daripada 10 tahun. Ada juga pihak yang bimbang kita akan kehilangan pemimpin berpengalaman. 

23.    Namun, Puchong berpendapat, pemimpin yang benar-benar hebat adalah pemimpin yang berjaya menyediakan succession plan yang mantap. 

24.    Puchong juga anggap risiko pemusatan kuasa adalah lebih tinggi daripada kebaikan yang kita boleh raikan dengan pemanjangan tempoh PM lebih daripada 10 tahun. 

25.    The risks outweighs the potential benefits, dengan izin.

26.    Puchong sokong klausa penting "sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya" dalam pindaan ini. 

27.    Ini penting untuk menutup sebarang bottleneck atau lubang tikus di mana ada pihak cuba menggunakan "pemimpin proksi" untuk kembali berkuasa selepas berehat seketika. 

28.    Kita mahu had 10 tahun ini bersifat mutlak.

29.    Seterusnya, Puchong ingin menggesa kerajaan supaya reformasi institusi ini tidak terhenti di sini sahaja. 

30.    Langkah seterusnya yang perlu diambil—selaras dengan janji pilihan raya kita—ialah memastikan jawatan Perdana Menteri tidak lagi dipegang serentak dengan portfolio Menteri Kewangan.

31.    Puchong ingin menggunakan analogi korporat. Dalam mana-mana syarikat besar, kita ada CEO dan kita ada CFO. Tugas CEO adalah untuk menetapkan visi dan hala tuju syarikat, manakala CFO bertanggungjawab menjaga "buku akaun" dan memastikan disiplin fiskal.

32.    Seorang CEO tidak akan hilang kawalan atau hilang kuasa syarikat hanya kerana beliau bukan CFO.

33.    Malah, syarikat menjadi lebih kuat apabila CFO boleh memberikan pandangan bebas dan berani berkata "tidak" kepada cadangan CEO yang tidak mampan dari segi kewangan.

34.    Begitu juga dengan pentadbiran negara. Apabila PM juga merupakan Menteri Kewangan, mekanisme check and balance dalam kabinet akan lumpuh.

35.    Menteri Kewangan sepatutnya menjadi pengawal gawang (gatekeeper) kepada khazanah negara. Jika PM memegang kedua-dua jawatan, siapa yang akan menyemak perbelanjaan PM? 

36.    Kita perlukan pemisahan ini supaya wujud akauntabiliti yang sebenar. PM tetap mempunyai kuasa penuh untuk memimpin, tetapi integriti kewangan negara akan lebih terjamin jika ada "dua pasang mata" yang berbeza memantau dasar dan perbelanjaan.

37.    Dengan itu, Puchong berharap kerajaan akan berani membuat pembaharuan seterusnya selepas pindaan ini.

38.    Akhir kata had tempoh penggal Perdana Menteri adalah janji dalam manifesto kita kepada rakyat—bahawa Malaysia akan sentiasa dipimpin oleh kepimpinan yang dinamik, berintegriti, dan sentiasa relevan dengan peredaran zaman. 

39.    Demi masa depan demokrasi negara, demi memastikan tiada lagi skandal mega yang memalukan nusa, Puchong mohon menyokong.

Terima kasih.