Wednesday, February 25, 2026

Speech by the Chairperson of the Special Select Committee on Women, Children and Community Development on the Issue of Stunting among Children in Malaysia | 25 Feb 2026

Bahasa Melayu Version

1.    Terima kasih Tan Sri di-Pertua kerana izinkan Puchong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat untuk  membuat penerangan Penyata Bantut Dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia yang telah dibentangkan pada 24 Februari 2026 (Selasa).

2.    Penyata ini adalah hasil libat urus dan dapatan daripada sesi pendengaran bersama:
i.                Kementerian Kesihatan (KKM);
ii.               Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL),
iii.             Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN);
iv.             Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM);
v.              United Nation’s Children Fund (UNICEF); dan
vi.             Nutrition Society of Malaysia (NSM)
 
3.    Pertama sekali, Puchong ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada dua statistik dan satu fakta berkaitan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

4.    Statistik pertama, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia ialah 21.2 peratus.
 
5.    Ini bermakna bahawa satu daripada lima kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah bantut.
 
6.    Yang lebih membimbangkan lagi, kadar ini meningkat daripada 17.7 peratus pada tahun 2015 kepada 21.2 peratus pada tahun 2022.
 
7.    Statistik kedua yang Puchong ingin menarik tumpuan dewan yang mulia ini ialah perbandingan kadar bantut antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN lain.
 
8.    Mengikut Our World in Data, Malaysia adalah satu-satunya negara di ASEAN yang merekodkan peningkatan kadar bantut, iaitu daripada 19.3% pada tahun 2000 ke 24.3% pada tahun 2024.
 
9.    Pada tempoh yang sama, manakala semua negara-negara ASEAN lain telah menunjukkan penurunan yang ketara.
 
10.    Sebagai contoh, Vietnam menurun daripada 41.1% pada tahun 2000, iaitu lebih daripada 2 kali ganda kadar bantut Malaysia pada ketika itu, ke 19.2% pada tahun 2024, lebih rendah daripada kita.
 
11.    Pada tahun 2000, kadar bantut di Malaysia adalah ke-3 terendah ASEAN selepas Singapura dan Thailand tetapi pada tahun 2024, kadar bantut di Malaysia ialah ke-4 tertinggi di ASEAN selepas Laos (29.9%), Filipina (27.7%) dan Myanmar (24.5%).

12.    Fakta utama yang Puchong ingin tegaskan di sini ialah masalah bantut bukan sekadar isu ketinggian fizikal, malah ia memberi kesan mendalam terhadap struktur dan fungsi otak kanak-kanak.
 
13.    Dalam infografik penyata ini, kami telah tunjukkan otak antara kanak-kanak yang bantut dengan mereka yang sihat: Kanak-kanak bantut mempunyai isi padu otak yang lebih kecil secara keseluruhan dengan bilangan neuron yang lebih kurang dan Sambungan antara sel saraf juga lebih terhad.
 
14.    Ini akan menjejaskan fungsi and kognitif otak, dengan tahap IQ yang lebih rendah, kemahiran Bahasa dan motor halus yang lebih rendah serta daya tumpuan yang lebih lemah.
 
15.    Dengan itu, Puchong ingin tegaskan di sini ialah bantut bukan sekadar pencapaian akademik dan produktiviti masa depan dan jika masalah bantut negara tidak ditangani dengan baik, daya saing negara.
 
16.    Itulah kenapa, Jawantankuasa ini membuat taklimat-taklimat dan membentangkan penyata ini.
 
17.    Di sini, Puchong ingin rumuskan TIGA penemuan utama dan syor-syor Jawatankuasa yang berkenaan.
 
18.    Pertama, Jawatankuasa mendapati bahawa masalah bantut di kalangan kanak-kanak di Malaysia menjadi lebih sukar dikesan selepas umur 18 bulan, iaitu selepas tamat jadual imunisasi rutin, sehingga mereka hadir ke tadika pada umur 5.
 
19.    Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, kira-kira 80% daripada bayi yang lahir di Malaysia mendapat suntikan imunisasi dari fasiliti KKM, dan setiap kali mereka yang hadir mendapat suntikan, KKM mengukur ketinggian dan berat badan mereka untuk memastikan pertumbuhan yang sihat.
 
20.    Berdasarkan data KKM, bagi mereka yang dipantau, peratusan bantut yang dikesan adalah rendah.
 
21.    Ini bermaksud bahawa bantut berlaku selepas 18 bulan bagi mereka yang pergi klinik kerajaan ataupun antara mereka yang pergi ke klinik swasta.
 
22.    Jurang ini perlu ditutupkan dari segi pemantauan  dan intervensi.
 
23.    Dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan supaya KKM dengan kerjasama KPWKM dan semua Kementerian dan agensi yang terlibat:
 
i.    Satu, memperkenalkan mekanisme pemantauan wajib bagi setiap kanak-kanak bawah 5 tahun di Malaysia, sama ada mereka yang menggunakan perkhidmatan kesihatan swasta atau kerajaan untuk memastikan pertumbuhan setiap kanak-kanak di Malaysia dipantau dengan sistematik dan intervensi boleh diberikan dengan segara;
 
ii.   Kedua, memanjangkan skop intervensi pemakanan dan kesihatan kanak-kanak dari 1,000 hari pertama  kehidupan, iaitu sehingga usia 2, ke 2,000 hari, iaitu sehingga usia 5 tahun.
 
24.    Penemuan utama kedua Jawantankuasa ialah kesedaran berkenaan dengan impak negatif bantut dan literasi pemakanan antara ibubapa masih adalah rendah secara keseluruhannya.
 
25.    Dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan supaya KKM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi untuk mengadakan kempen kesedaran mengenai implikasi bantut bukan sahaja kepada pertumbuhan fizikal semata-mata, tetap juga kepada pertumbuhan dan perkembangan otak.
 
26.    Kami juga mengesyorkan supaya KKM:
 
i.      Mengubah protokol bagi mewajibkan konsultasi pemakanan untuk bayi berusia 6 bulan, 12 bulan, 18 bulan di klinik dan hospital kerajaan serta swasta;
 
ii.     Menyediakan  risalah pelbagai bahasa berkenaan pendidikan pemakanan bagi bayi berusia 6 bulan, 12 bulan, 18 bulan bagi memastikan komponen pendidikan pemakanan asas diberikan kepada ibu bapa semasa lawatan bayi dan kanak-kanak;
iii.   Mempercepat pelaksanaan sistem pelabelan hadapan pek (Nutri-Grade A–D) secara mandatori bagi produk makanan dan minuman bagi memudahkan pengguna membuat pilihan yang lebih sihat.
 
27.    Penemuan utama ketiga Jawatankuasa ialah walaupun susu ialah antara sumber nutrien yang efektif dan mudah bagi memastikan pertumbuhan sihat kanak-kanak, bekalan dan harga susu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan seperti minyak masak yang mendapat subsidi RM2-4 bilion setiap tahun dan gula yang mendapat subsidi RM500 juta.
 
28.    Justeru, Jawatankuasa mengesyorkan supaya MOF dengan kerjasama KPKM, KPDN dan KKM membuat penyasaran semula subsidi pemakanan negara supaya susu juga diberi keutamaan untuk memastikan setiap kanak-kanak boleh mengakses kepada nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan yang sihat.
 
29.    Secara keseluruhannya, Jawatankuasa ingin mengesyorkan kerajaan untuk belajar dari pengalaman Indonesia dalam menangani masalah bantut, di mana mereka berjaya menurunkan kadar bantut 11% dalam masa singkat 6 tahun dari 30.8% pada 2018 ke 19.8% pada tahun 2024.
 
30.    Ini membuktikan bahawa penurunan ketara boleh dicapai jika kepimpinan, tadbir urus dan pelaksanaan bergerak seiring.
 
31.    Antara faktor kejayaan Indonesia ialah inisiatif menangani bantut digerakkan oleh mandat undang-undang di peringkat tertinggi melalui Peraturan Presiden Nombor 72 Tahun 2021 mengenai percepatan penurunan bantut.
 
32.    Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan  Bahagian Hal Ehwal Undang- undang (BHEUU) bersama KKM mengkaji keperluan dan bagaimana kita juga boleh  mewujudkan mandat undang-undang dalam mengatasi masalah bantut. 
 
33.    Berdasarkan pengalaman Indonesia, Jawatankuasa juga ingin mengesyorkan supaya KKM mengenal pasti dan memfokuskan intervensi kepada daerah dan komuniti berisiko tinggi seperti kawasan Orang Asli dan perumahan kos rendah melalui pendekatan bersasar berasaskan data tempatan.
 
34.    Jawatankuasa juga mengesyorkan supaya KKM bersama MOF dan Kementerian Ekonomi mewujudkan peruntukan khusus yang bersasar dan berstruktur yang boleh turun ke peringkat komuniti tempatan melalui agensi kerajaan atau NGO secara sistematik dengan menghubungkan peruntukan dengan liputan sasaran, jenis program intervensi, dan impak terhadap kadar bantut.
 
35.    Jika negara yang lebih besar dan kompleks seperti Indonesia mampu menurunkan kadar bantut secara drastik melalui kepimpinan tegas dan pelaksanaan berasaskan data, maka Malaysia juga perlu beralih daripada pendekatan berpecah-belah kepada pendekatan yang tersasar, terukur dan bertanggungjawab.

36.    Sebagai penutup, Puchong ingin tegaskan sekali lagi bahawa bantut bukan sekadar isu ketinggian  ataupun anak kecil. Ia menjejaskan perkembangan otak, pencapaian akademik, produktiviti masa depan dan daya saing negara.
 
37.    Setiap kanak-kanak yang gagal mencapai potensi pertumbuhan hari ini adalah kerugian kepada negara pada masa hadapan.

Tamat