Thursday, August 1, 2013

Laporan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 (2/2)


Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih ADUN DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin pada 2 Julai 2013 (Selasa) di Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang kepada Damansara Utama untuk turut serta menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 28 Jun 2013. Salam sejahtera diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Salam reformasi dan Salam Ubah.


Puan Speaker, Selangor merupakan negeri yang paling kaya di Malaysia dan menyumbangkan hampir satu perempat KDNK Malaysia. Kita juga mempunyai kadar penduduk yang paling ramai di Malaysia, iaitu sebanyak 5.46 juta penduduk. Komposisi etnik Selangor di mana 51 peratus Melayu, 26 peratus Cina dan 13 peratus India juga merupakan komposisi yang mencerminkan etnik yang terdapat di Malaysia, di mana Melayu, Cina, India masing-masing 50%, 23% dan 7%. Dengan itu, pentadbiran Selangor sebenarnya merupakan satu projek perintis bagi kerajaan pakatan rakyat dalam mempersiapkan diri untuk mentadbir Putrajaya bagi menggantikan kerajaan minoriti di Putrajaya pada masa akan datang.




Jenayah

Puan Speaker, di sini, saya ingin menyentuh isu jenayah yang semakin menjadi kebimbangan kebanyakan penduduk di Damansara Utama dan seluruh Lembah Klang. Baru-baru ini, terdapat banyak restoran da kedai dirompak di Petaling Jaya tanpa mengira waktu siang atau malam. Dua hari dahulu, rumah Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, juga dirompak. Untuk kali yang pertama, kita dengar daripada Barisan Nasional bahawa masalah jenayah bukan semata- mata persepsi! Saya ingin mengetengahkan isu ini di dewan yang mulia ini dengan harapan agar kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif serta-merta untuk melindungi penduduk Selangor di Lembah Klang walaupun ini di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Puan Speaker, secara keseluruhannya, kadar nisbah polis dengan penduduk di Selangor adalah bersamaan dengan 1:500. Nisbah ini 2 kali ganda daripada piawaian antarabangsa yang disyorkan oleh Interpol iaitu nisbah standard yang bersamaan dengan 1:250. Dalam erti kata lain, setiap polis di Selangor kena jaga 2 kali ganda penduduk berbanding dengan standard antarabangsa. Kekurangan polis yang begitu ketara ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kadar jenayah berleluasa.

Puan speaker, ini bukan kerana negara kita tidak mempunyai anggota polis yang mencukupi. Secara keseluruhannya, nisbah polis dengan penduduk Malaysia ialah 1:270 dan tetapi Selangor ia adalah 1:500. Ini jelas bahawa pembahagian polis di Selangor adalah amat tidak adil. Dengan demikian, saya mendesak kerajaan negeri agar boleh berdiri teguh dan memberikan tekanan besar kepada Ketua Polis Negara serta Kerajaan Dalam Negeri supaya lebih ramai anggota polis dapat disalurkan ke Selangor, sekurang-kurang mencapai nisbah purata negara, bagi menjamin keselamatan rakyat di Selangor.

Puan Speaker, sejak tahun 2009, peruntukkan dana untuk polis bantuan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada PBT-PBT. Akan tetapi, kesemua permohonan untuk polis bantuan daripada PBT telah ditolak dan dana ini sekarang disalurkan untuk polis komuniti. Rakyat Selangor terutamanya mereka yang tinggal di lembah klang, kami memerlukan lebih banyak polis. Oleh sebab itu, MBPJ telah memohon polis bantuan sejak 2009 sebanyak 3 kali tidak sampai sekarang belum mendapatkan kelulusan.

Puan Speaker, terdapat 123 agensi pentadbiran yang menggunakan polis bantuan. GLC seperti Telekom,Tenaga dan Petronas serta syarikat swasta lain seperti Astro, PLUS, Puncak Niaga and juga tidak terkecuali, Utusan Melayu dibenarkan mempunyai polis bantuan mereka sendiri, tetapi PBT di bawah Pakatan Rakyat tidak dibenarkan. Pemaju-pemaju seperti SP Setia dan Sunway serta pusat membeli-belah boleh mempunyai polis bantuan mereka sendiri, tetapi PBT di bawah Pakatan Rakyat tidak boleh. Yang paling mengecewakan ialah, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Melaka di bawah pentadbiran Barisan nasional boleh mempunyai pasukan polis bantuan, PBT di negeri Pakatan Rakyat tidak boleh. Ini jelas menunjukkan double-standard (dengan izin) kerajaan pusat dalam isu permohonan polis bantuan dan mereka memberi lebih kepentingan kepada agenda politik daripada keselamatan rakyat.

Puan Speaker, di sini saya ingin menjemput YB-YB di dewan yang mulia ini untuk menyertai dan menyokong petisyen yang kami akan adakan, iaitu petisyen 100,000 tandatangan untuk menuntut Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri bagi meluluskan permohonan polis bantuan daripada MBPJ dan seterusnya PBT-PBT lain di Lembah Klang yang memohon. Semua dijemput hadir ke sidang akhbar pelancaran esok pukul 1 petang. Saya ingin terutamanya menjemput YB-YB pembangkang untuk turut sokong petisyen ini untuk membuktikan bahawa slogan Barisan Nasional “rakyat didahulukan” bukan slogan kosong. Saya harap YB-YB dari Barisan Nasional di dewan yang mulia ini akan turut bersama menekan kerajaan pusat supaya mengutamakan keselamatan rakyat Selangor daripada agenda-agenda politik.

Banjir Kilat

Puan Speaker, sekarang saya ingin mengalihkan perhatian semua berkenaan banjir kilat yang sering memberi masalah kepada penduduk di Damansara Utama dan kawasan-kawasan lain di sekitar Selangor.

Di sini, saya ingin menyeru kerajaan negeri untuk memberi perhatian yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah banjir kilat bagi penduduk-penduduk yang tinggal di Kg Chempaka Jalan PJU 1. Menurut rekod dari MBPJ, dalam tempoh 13 tahun sudah berlaku sebanyak 10 banjir kilat di kawasan yang sama ini. Apabila saya turun melawat mangsa banjir kilat baru-baru ini, komen-komen saya dapati amat mengecewakan, iaitu mereka sudah biasa dengan keadaan macam ini. Saya berharap kerajaan negeri dan JPS Selangor boleh mengambil langkah yang berpatutan dan membuktikan kepada rakyat di Kg Chempaka bahawa bencana yang boleh dielakkan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasib mereka di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Puan Speaker, pengurusan sungai bukan sahaja hanya untuk mengelakkan banjir kilat, ia juga berhubung kait dengan keselamatan penduduk yang tinggal di bangunan-bangunan di tepi tebing sungai. Di Damansara Utama, keruntuhan sebahagian tebing sungai Sungai Penchala dan Sungai Kayu Ara telah menyebabkan kelemahan strucktur bangunan di atas tebing sungai. Ini amat membahayakan dan boleh dikatakan disaster in the waiting (dengan izin). Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri boleh mengambil berat tentang pengurusan tebing sungai di Damansara Utama, iaitu Sungai Kayu Ara dan Sungai Penchala supaya rakyat Damansara Utama yang tinggal berhampiran tebing sungai boleh hidup dengan aman dan selamat.

Puan Speaker, banjir kilat juga berkaitan dengan pengurusan perparitan. Menurut laporan saya memperolehi daripada MBPJ minggu lepas, sementara kita perlu membaiki sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan panjang 2,300km parit setiap tahun, kita hanya mampu memperbaiki kira-kira 2.5 peratus sahaja kerana tidak ada peruntukkan yang mencukupi. Menjelang akhir tahun ini, hampir 800km, iaitu satu pertiga daripada saliran di Petaling Jaya akan berada dalam keadaan yang buruk. Statistik ini tidak mengejutkan kerana saya telah menerima banyak aduan mengenai struktur longkang yang runtuh. Dengan itu, saya menggesa agar kerajaan negeri dapat meningkatkan peruntukkan penyelenggaran saliran ini kepada MBPJ.

Kesesakan Bandar

Puan Speaker, selain daripada isu jenayah dan banjir kilat, kesesakan bandar juga merupakan satu fenomena yang menyusahkan penduduk di Damansara Utama dan Lembah Klang. Sistem pengangkutan awam di Lembah Klang perlu diperbaiki. Walaupun ini bukan dibawah bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi saya mencadangkan agar kerajaan negeri dapat meneliti inisiatif yang mampu dibiayai oleh kerajaan negeri untuk membaiki sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Contohnya, perkhidmatan bas mini yang missing link (dengan izin) di jaring pengangkutan awam yang sedia ada.

Jika kerajaan negeri ingin memulakan projek perintis pengangkutan awam, saya mengalu-alukan projek perintis ini dibuat di Damansara Utama, pejabat saya akan sokong 100 peratus. Keberkesanan projek perintis ini boleh dijadikan panduan untuk mendesak kerajaan persekutuan untuk melakukan inisiatif yang sama di kawasan-kawasan lain dengan dana persekutuan untuk memanfaatkan semua rakyat Selangor yang tinggal di Lembah Klang.

Isu yang berkenaan pengangkutan awam untuk penduduk di Damansara Utama ialah kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT. Khususnya, saya berharap pejabat tanah boleh mempercepatkan permohonan TOL oleh MBPJ untuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat di stesen LRT Kelana Jaya dan Taman Bahagia yang telah dibuat kira-kira 18 bulan yang lalu.

Enakmen Kebebasan Maklumat 2010

Puan Speaker, dari segi ‘good governance’ seperti yang dititik berat di titah Duli Yang Maha Mulia, saya ingin menyentuh sedikit atas pelaksanaan enakmen kebebasan maklumat 2010. Melalui enakmen ini, seorang pegawai maklumat diberikan tugas untuk bertanggungjawab kepada setiap jabatan dan dia perlu memberi maklum balas kepada permintaan FOI dalam tempoh 30 hari ataupun 7 hari bagi kes-kes yang mendesak.

Semalam saya telah mendapat jawapan dari YB Exco bahawa 41 pegawai maklumat telah dilantik pada 5 March 2013. Walau bagaimanapun, pejabat saya telah menghubungi 12 PBT dan dengan dukacitanya kami gagal menghunbungi dan mendapat pegawai maklumat yang dipertanggungjawabkan. Sering kali, pembantu saya kena tunggu lama di telefon line disebabkan kakitangan- kakitangan PBT tidah tahu siapa pegawai ini. Di samping itu, kami sudah memeriksa semua laman web PBT dan mendapati bahawa tidak mempunyai apa- apa maklumat berkaitan Enakmen tersebut apatah lagi cara penghubungan pegawai maklumat.

Puan Speaker, saya ingin menggesa kerajaan negeri supaya pegawai maklumat FOI boleh dihubungi dengan lebih senang oleh orang awam. Selain itu, saya juga cadangkan agar kerajaan negeri boleh melakukan kempen kesedaran sekali lagi supaya orang ramai sedar akan wujudnya enakmen kebebasan maklumat ini.

Enakmen ini akan hanya berkesan jika orang awam tahu akan enakmen ini dan pegawai maklumat boleh dihubungi. Dengan itu, orang awam boleh berfungsi sebagai mata dan telinga pentadbiran kerajaan Selangor supaya kerajaan negeri boleh terus mentadbir dengan telus dan akauntabel.

Reformasi Parlimen

Puan Speaker, saya menyokong cadangan YB Sekinchan supaya kerajaan negeri boleh bertimbang untuk menaikkan taraf Ketua Pembangkang Selangor. Sebenarnya, di negara-negara berdemokrasi yang matang, seperti di UK dan Canada, ketua pembangkang parlimen mendapat gaji, elaun dan kebajikan yang setaraf dengan menteri-menteri. Dengan itu, saya mencadangkan bahawa kerajaan negeri Selangor boleh memberi pelayanan yang sama kepada Ketua Pembangkang supaya setaraf dengan EXCO. Reformasi parlimen bermula dari Dewan Negeri Selangor. Kita kena UBAH demokrasi Malaysia. Kalau Kerajaan Selangor boleh berbuat demikian, ia akan mencipta satu sejarah lagi dan membawa demokrasi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Institut Penyelidikan Dasar dan Program Negeri

Puan Speaker, cadangan terakhir pembahasan saya yang pertama di Dewan yang mulia ini ialah saya bercadang bahawa kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah Institut Penyelidikan Dasar dan Program Negeri yang tugasnya adalah untuk mengkaji dasar-dasar dan program-program yang dilaksanakan atau bakal dilaksanakan secara sistematik dan mengikut cara kajian saintifik. Institut ini akan menilai dasar-dasar dan program-program dari semasa ke semasa berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) (dengan izin), iaitu petunjuk prestasi utama yang dikira secara empirikal dan seterusnya memberi cadangan dasar atau program berdasarkan fakta-fakta dan angka-angka hasil daripada analisasi dan bukannya semata- matanya berdasarkan elemen politik.

Saya percaya Insitut Penyelidikan Dasar dan Program Negeri adalah langkah pertama kerajaan negeri ke arah polisi, dasar dan program yang setaraf dengan negara maju untuk menjamin kemajuan, kemakmuran dan keselamatan rakyat di negeri yang dikasihi ini.

Dengan ini, Damansara Utama menyokong usul titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Terima Kasih.