BELANJAWAN 2017 NEGERI SELANGOR MEMBANGUN BANGSA, MEMAKMUR NEGERI
A. PENDAHULUAN
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
1. Kita menutup tirai 2016 dengan pelbagai
kegembiraan untuk rakyat dan negeri. Pada 31 Ogos 2016, tatkala negara
menyambut Hari Kemerdekaan, rakyat Selangor bergembira mendapat berita bahawa
DYMM Sultan Selangor selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin. Marilah kita mendoakan semoga Duli-Duli Yang Maha
Mulia Tuanku akan kekal bahagia dan terus bersemayam di atas takhta Negeri
Selangor.
2. Dua minggu yang lalu, rakyat Negeri
Selangor sekali lagi meraikan Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran
Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris
Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor ke 7 yang mewarisi Takhta Kesultanan
Selangor. Majlis yang penuh dengan istiadat dan warisan ini menjadi tumpuan
generasi muda tentang kelangsungan institusi kesultanan Melayu Negeri Selangor.
3. Kerajaan Negeri berikrar mempertahankan
institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah
kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.
4. Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar
bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat
berpisah tiada. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan
kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli
rakyat.
5. Di bawah naungan ini, kita bertemu sekali
lagi untuk membuat persiapan menghadapi tahun hadapan. Pertemuan pagi ini turut
dihadiri oleh Imam-Imam dari semua daerah, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung,
Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil NGO yang mewakili budayawan dan penggiat seni,
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan aktivis masyarakat.
Muafakat membawa berkat.
6. Kita akan membentangkan belanjawan dalam
serba keyakinan. Kita telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Pada 30 Oktober
2015 yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM 630 juta
untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Kita
bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap
lebihan sebanyak RM 351.38 juta.
7. Kutipan hasil negeri sudah mencecah 96.9
peratus, sementara belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus
manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus. Sehingga 14 Oktober
2016, rizab negeri berada pada tahap RM 3.62 bilion.
8. Kejayaan hari ini bukan helah untuk
mengambil sikap selesa. Berkat kewangan yang kukuh, kita merangka Belanjawan
2017 untuk membangun bangsa dan memakmur negeri. Dasar mesra pasaran telah
meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.
9. Pelabur mahukan kepimpinan yang mempunyai
visi yang jelas, dasar yang tuntas dan berpegang kepada prinsip integriti dan
kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negeri.
10. Sementara Kerajaan Negeri bersikap mesra
pasaran, kita tidak percaya tangan ghaib pasaran boleh membawa kemakmuran yang
merata. Bahkan pasaran bebas yang tidak terkawal akan menyebabkan kesenjangan
pendapatan dan peminggiran golongan berpendapatan rendah. Fenomena ini akan
menyemai benih konflik sosial. Maka, kerajaan mempunyai peranan strategik untuk
mencapai keadilan sosial sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri.
11. Pelaksanaan GST telah menguncupkan
pendapatan isi rumah dan menyumbang kepada ketidakupayaan melebarkan domestic
consumption.
12. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli
rakyat, Belanjawan 2017 akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk
meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kalangan kumpulan isi
rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).