Saturday, November 5, 2016

Selangor Budget 2017 Policy Debate Transcript

Below is the transcript of my policy debate in the current state assembly session. 


The top picture was taken by my intern who's attending the session as observer. Sorry for the quality, she needed to take from the TVs in assembly because of the sitting. :) 



Transkrip Perbahasan Dasar Yeo Bee Yin pada 2 November 2016 (Rabu) di Dewan Undangan Negeri Selangor. 

Terima tuan speaker kerana memberi ruang kepada Damansara Utama untuk turut serta dalam perbahasan belanjawan negeri selangor 2017 yang telah dibentangkan oleh Dato Menteri Besar pada hari Isnin.


Wanita

Tuan Speaker,

Perkara pertama yang ingin saya bangkitkan ialah isu wanita kerana nampaknya belanjawan 2017 ini tidak berapa menyentuhi dasar-dasar wanita.

Saya berasa bahawa Kerajaan negeri perlu ada rancangan yang strategik untuk meningkatkan peratus wanita dalam tenaga kerja. Setakat ini, hanya 54% wanita dalam umur bekerja berada dalam tenaga kerja di Malaysia. Kadar ini adalah salah satu paling rendah di Asia Tenggara. United Nation’s Development Program (UNDP) menjangkakan bahawa jika kita boleh meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sehingga 70%, Malaysia boleh menjana KDNK tambahan sebanyak 2.9% - bersamaan sekitar RM35 billion setiap tahun untuk Malaysi, iaitu kira-kira RM 8 billion untuk Negeri Selangor.

Salah satu langkah yang boleh diambil untuk menggalakkan wanita terus bekerja ialah memastikan pusat penjagaan kanak-kanak (childcare) di Selangor adalah accessible (boleh didapati dengan senang) dan affordable (mampu dibiayai). Walaupun childcare adalah dalam bidang kerajaan perseketuan, saya percaya kerajaan negeri boleh turut memainkan peranan dalam usaha ini. Damansara Utama ada tiga cadangan kepada kerajaan negeri.

Pertama, kerajaan negeri perlu menubuhkan sebuah unit khas di bawah portfolio wanita yang memberi tumpuan kepada pembangunan taska dan tadika di negeri Selangor. Unit ini boleh bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, pihak swasta serta NGO yang berkaitan untuk membuat dasar dan rancangan serta menjadi one-stop-center kepada pengusaha-pengusaha childcare care di Selangor. Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor juga harus “lead by example” (dengan izin) dengan menyediakan perkhidmatan childcare di semua bangunan utama kerajaan negeri Selangor .

Kedua, kerajaan Selangor harus ada rancangan untuk mendorong syarikat-syarikat swasta di Selangor untuk menubuhkan pusat jagaan sendiri di tempat-tempat kerja, iaitu workplace childcare.

Cadangan ketiga adalah kerajaan negeri perlu mengatasi masalah-masalah yang tertimbul di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di kawasan perumahan. Trend sekarang adalah pengusaha menukar lot sudut di kawasan perumahan untuk menjadi pusat penjagaan kanak-kanak, namun ini telah memberi masalah kepada penduduk berdekatan seperti masalah lalu lintas dan keselamatan.
Untuk mengelakkan masalah sedemikian berlaku pada masa akan datang, Damansara Utama berharap bahawa kerajaan negeri boleh mewajibkan pemaju menyediakan sebuah tempat khusus untuk pusat penjagaan anak untuk semua projek pembangunan perumahan pada masa akan datang.
Tambahan lagi, saya mendapat maklum balas bahawa permohonan-permohanan berhubung pusat penjagaan kanak-kanak di peringkat PBT mengambil masa yang lama. Harap kerajaan negeri boleh mengambil perhatian dan memastikan PBT-PBT meringkaskan langkah-langkah permohonan ini.  
Nursing Room
Tuan Speaker,
Selain childcare, saya juga ingin membangkitkan perkara lain mengenai golongan wanita.
Baru-baru ini, adik saya telah melahirkan seorang bayi. Tak lama lagi dia perlu kembali bekerja dan dia masih menyusu lagi. Saya mendapati bahawa banyak tempat kerja mahupun premis awam tidak mempunyai tempat yang sempurna untuk ibu-ibu yang menyusu untuk mengepam susu mereka. Mereka sering perlu untuk mengepam susu di dalam tandas. Ini adalah gambaran ibu mengepam susu di tandas. Adakah ia wajar makanan bayi dikendalikan dalam tandas?
Atas kesedaran ini, Damansara  Utama menyeru kerajaan negeri untuk memulakan rancangan 3 tahun untuk mewajibkan setiap bangunan melebihi saiz tertentu di Selangor mempunyai satu ruang menyusu dan ia perlu berasingan daripada tandas. PBT-PBT juga perlu memastikan ini menjadi satu syarat wajib bagi projek-projek masa depan.
Selangor perlu menjadi negeri yang terbaik untuk para ibu-ibu tinggal dan bekerja. Dengan itu, kita boleh menanggapi bakat dan potensi para ibu yang bekerja justeru meningkatkan produktiviti ekonomi negeri ini. Kita mesti sedar bahawa dasar wanita yang baik bukan sahaja mengenai hak wanita, malah ia adalah baik untuk sosial dan ekonomi.

Smart Transport and Mobility

Tuan Speaker,

Seterusnya saya ingin bangkitkan Smart Transport dan Mobility yang juga disentuh oleh Dato Menteri Besar dalam ucapan bajet beliau. Dalam isu ini, saya ingin cadangkan supaya Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) boleh mengkaji SMART parking.

Sehingga kini, bayaran letak kereta di negeri Selangor masih dipungut dengan cara tradisi seperti meter letak kereta. Rakyat perlu berjalan kaki ke meter letak kereta dan membayar bayaran letak kereta. Kadang-kadang apabila meter letak kereta tidak berfungsi, kita perlu berjalan lagi kepada meter lain. Ini banyak berlaku di Petaling Jaya. Bayangkan di bandar maju seperti PJ orang ramai masih perlu menggunakan cara outdated ini untuk membuat bayaran letak kereta. Ini tidak selaris dengan imej SMART Selangor yang Dato Menteri Besar ingin membina.

Sebenarnya terdapat banyak opsyen aplikasi smartphone yang membolehkan pembayaran fee parking dengan smartphone. Saya berharap Kerajaan Selangor boleh mengkaji sama ada ia boleh dilaksanakan di semua PBT. Di samping itu, masalah letak kereta berlapis-lapis (double and triple parking bandar pesat seperti Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong juga perlu ada cara penyelesaian SMART.

Kesihatan

Tuan Speaker,

Perkara yang seterusnya yang saya ingin bangkitkan ialah tentang Skim Peduli Sihat. Selain daripada klinik-klink, saya ingin mencadangkan kerajaan negeri untuk melanjutkan skim ini ke hospital-hospital kerajaaan.

Saya baru-baru ini melawat seoerang pesakit di kawasan saya dan diberitahu bahawa ubat untuk depression dan kanser di Hospital Universiti berharga beberapa ratus ringgit setiap kali mengambil ubat. Walaupun harga ubat ini sudahpun disubsidi, beberapa ratus ringgit masih amat membebani untuk banyak keluarga. Oleh itu, subsidi lanjut dengan Skim Peduli Sihat akan banyak membantu keluarga miskin di Selangor. Mohon kerajaan boleh meneliti cadangan tersebut.

Penyelenggaraan jalan

Tuan Speaker,

Seterusnya, saya juga ingin berbincang sedikit tentang penyelenggaraan jalan. Dato Menteri Besar berkata dalam ucapannya bahawa kerajaan mahu menghasilkan heat map of road age untuk program perancangan preventive maintenance bagi jalan raya di Selangor. Saya rasa ia adalah satu idea yang baik. Sebenarnya, saya telah bertanya dua soalan dalam persidangan lalu mengenai maklumat yang diperlukan untuk heat map.

Soalan pertama saya adalah sama ada PBT mempunyai rekod bila jalan-jalan mereka dibina dan tarikh penyelenggaraan. Daripada 12 PBT, hanya 7 PBT telah memberikan balasan. Dan 3 daripada 7 menjawab bahawa mereka hanya mempunyai maklumat untuk kira-kira 30 atau 40% daripada jalan-jalan mereka.  

Soalan kedua saya adalah tentang maklumat mengenai jumlah panjang jalan raya mengikut usia jalan raya di PBT masing-masing. Untuk soalan ini, hanya 4 daripada 12 PBT ada rekod terkini dan memberikan jawapan.

Dari kedua-dua jawapan yang saya terima, saya berasa adalah jauh lagi kerajaan negeri boleh menghasilkan road age heat map ini dan seterusnya melaksanakan preventive maintenance.  Oleh itu, saya ingin meminta penjelasan daripada kerajaan negeri tentang rancangan road age heat map ini dan bilakah mode kerja preventive maintenance akan dipraktiskan di semua PBT-PBT.

Rumah Mampu Milik

Tuan Speaker,

Seterusnya saya ingin membangkitkan isu mengenai rumah mampu milik di Selangor. 

Setakat ini kita banyak berbincang tentang penyediaan rumah mampu milik oleh kerajaan, sama ada ia adalah PR1MA atau Rumah Selangorku untuk menyelesaikan masalah perumahan mampu milik. Hari ini, saya mahu menarik perhatian Dewan Undangan Negeri kepada aspek lain rumah mampu milik, iaitu dari segi pasaran perumahan dan hartanah sendiri.

Sekarang, kita nampak trend pasaran perumahan terdapat ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan (mistmatch of supply and demand). Apabila bekalan tidak memenuhi permintaan, harga akan meningkat. Izinkan saya memberi sedikit statistik. Hanya 37% daripada pelancaran baru perumahan pada 2016 berada pada segmen mampu milik antara RM 250,000 hingga RM450,000. Secara perbandingan, hampir separuh (49%) daripada pelancaran baru adalah melebihi RM500,000 walaupun hanya 20% daripada penduduk mampu membelinya!

Menurut laporan Khazanah “Making Housing Affordabe;”, ketidaksepadanan bekalan dan permintaan ini adalah akibat pemaju tidak bertindak balas dengan cepat kepada permintaan perumahan kerana tempoh pembinaan yang panjang. Ini  adalah disebabkan oleh struktur industri perumahan yang terpecah-belah yang menggunakan proses traditional general contracting (dengan izin) serta  kekurangan insentif untuk inovasi di kalangan pemaju.

Oleh yang demikian, Damansara Utama ingin mencadangkan kerajaan negeri untuk memulakan kajian bagaimana untuk menangani isu kemampuan melalui perubahan dasar yang boleh meningkatkan effisiensi pasaran perumahan dan teknologi pembinaan.

Sebagai contoh, kita perlu melihat sama ada untuk mewajibkan pemaju di Selangor menerima pakai sistem industrialized building system (IBS) dalam pembinaan mereka. Atau mungkin kita boleh melalui cara-cara tertentu menghadkan penggunaan pekerja asing atau memendekkan masa pembinaan dalam kebenaran merancang secara sistematik untuk mendorong pemaju untuk menggunakan teknologi baru yang boleh membina rumah dengan lebih cepat dan kadang-kala lebih kos efektif.

DEIG & Air Selangor & Anak-anak Syarikat

Tuan Speaker,

Perkara terakhir yang saya ingin bangkitkan ialah berkenaan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Dato Menteri Besar telah menyebut tentang peranan DEIG dalam mempelbagaikan pendapatan dan membuat pelaburan strategik dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan perumahan mampu milik. Tentang DEIG, saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian saya bahawa kita perlu mengukuhkan akautabiliti syarikat ini kerana ia mengawal 74 anak-anak syarikat  di Selangor. Satu-satunya badan pemantau DEIG adalah lembaga pengarahnya.

Seperti yang saya sering berkata, "Good leaders come and go, good institution remains" Kita perlu menginstitusikan akauntabiliti. Memandangkan DEIG adalah di bawah MBI, saya ingin sekali lagi menggesa kerajaan untuk meminda enakmen MBI 1994 supaya:
i.     Satu: memberi mandat kepada Juruaudit Negeri untuk membuat pengauditan tahunan dan
ii.        Dua: mewajibkan pembentangan laporan tahunan MBI kepada Dewan Undangan Negeri supaya ia boleh dibahaskan di Dewan.

Selain DEIG, satu lagi anak-syarikat besar yang baru ditubuhkan adalah Air Selangor selepas penstrukturan semula industri air sejak akhir 2015. Memandangkan air adalah penting untuk rakyat Selangor dan pendapatan (revenue) Air Selangor hampir mencecah satu bilion setiap tahun, Air Selangor perlu bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri melalui undang-undang.

Dengan itu, Damansara Utama mencadangkan di sini kepada kerajaan negeri untuk merangka rang undang-undang bekalan air yang mengawal pengurusan bekalan air terawat di Selangor termaksud Air Selangor. Dewan yang mulia ini juga boleh mempertimbangkan sama ada perlunya Air Selangor diperbandanankan.

Menjadikan Air Selangor bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri akan memastikan pengurusan dan lembaga pengarah Air Selangor lebih berwaspada untuk memastikan bahawa kita boleh melalui tahun 2017 yang penuh cabaran dan mempunyai perkhidmatan air yang baik bagi rakyat Selangor dan untuk generasi akan datang.

Selain itu, saya juga mendapati daripada Penyata Kewangan m/s 76 bahawa Kumpulan Dahrul Ehsan Berhad (KDEB) belum lagi menyelesai pinjaman sebanyak RM413.2 juta yang diberi oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan pengambilan saham Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB). Sudah 2 tahun penyelesaian hutang ini lambat. Damansara Utama ingin mengetahui apakah perkembangan dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan kita dapat balik wang ini.


Itu sajalah pandangan-pandangan dan cadangan-cadangan saya, Damansara Utama mohon menyokong usul.