Wednesday, August 27, 2025

Speech by the Chairperson of the Special Select Committee on Women, Children and Community Development on the Issue of Bullying Among School Students | 27 August 2025

Speech by the Chairperson of the Special Select Committee on Women, Children and Community Development on the Issue of Bullying Among School Students | 27 August 2025

(Bahasa Melayu Version)


1.    Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana izinkan Puchong untuk memberi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat.

2.    Jawatankuasa Pilihan ini telah membentangkan dua penyata pada sidang parlimen ini.

 

3.    Penyata pertama ialah Penyata berkenaan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysiadi mana Jawatankuasa telah mengemukakan lapan syor utama untuk tindakan kementerian-kementerian yang berkaitan. 

 

4.    Untuk penerangan yang seterusnya, Puchong akan fokus kepada penyata kedua yang telah kami bentangkan iaitu Penyata Berkenaan Isu Buli dalam Kalangan Pelajar Sekolah.

 

5.    Tragedi yang menimpa Zara adalah satu wakeup call kepada kita bahawa isu buli di sekolah semakin berleluasa.

 

6.    Persoalan besar ialah kenapa kes Zara boleh berlaku?


7.    Malaysia telah meratifikasikan United Nations Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995.

8.    Selaras dengan Artikel 19, Malaysia secara rasmi terikat untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penderaan, termasuk fizikal, emosi, dan seksual, serta pengabaian.

9.    Selain itu, Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM juga telah dikemaskini pada November 2023. YB-YB jika berminat boleh Google dan download untuk membaca garis panduan ini.

10. Jika kita baca Garis Panduan ini dengan teliti, walaupun masih adanya sedikit kelemahan, ia secara keseluruhannya adalah komprehensif.

11. Ia merangkumi definisi buli, jenis-jenis salah laku buli, punca, kesan, serta tatacara pengurusan kes, termasuk SOP-SOP pengendalian aduan salah laku buli bagi kes dengan dan tanpa laporan polis.

12. Semua SOP ini siap dengan flow chart dan penjelasan peranan dan tanggungjawab pihak sekolah, guru, murid, ibu bapa, dan komuniti.  

13. Sebagai contoh, jika kita tengok m/s 15 garis panduan, Perkara 4.3 Tatacara Pengendalian Aduan Salah Laku Buli (a), apabila Pengetua atau guru besar mengetahui mengenai kejadian salah laku buli tersebut, beliau hendaklah, dalam tempoh 24 jam, mengambil tindakan seperti menghubungi ibu bapa atau penjaga murid yang terlibat, menghantar dan mengiringi murid ke klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan untuk pemeriksaan sekiranya murid itu mengalami kecederaan fizikal atau gangguan emosi dan lain-lain lagi.

14. Selain itu, garis panduan ini turut menyediakan panduan intervensi, baik dari segi pencegahan, perkembangan, pemulihan, mahupun krisis. 

15. Secara keseluruhannya, Jawatankuasa berpendapat bahawa jika Garis Panduan ini dipatuhi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, kes Zara tidak akan berlaku.

16. Jika Garis Panduan ini dipatuhi di sebuah sekolah asrama di Sabak Bernam, adik Ahmad Irfan tidak akan terjatuh dari tingkat tiga dan sekarang masih berada dalam keadaan kritikal di hospital.

17. Persoalannya, berapa lagi sekolah KPM yang tidak mengikut garis panduan?

18. Berapa lagi yang mengambil sikap denial dengan hasrat untuk tutup kes cepat?  

19. Apa gunanya jika kita meratifikasikan CRC dan mewujudkan garis panduan yang komprehensif tetapi hakikatnya semua ini hanya adalah komestik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kita telah buat yang terbaik dalam melindungi kanak-kanak kita?

20. Hakikatnya ialah we have not done enough.

21. This August House can do more for our children.

22. Bukan hanya untuk Zara, tetapi juga untuk setiap anak di luar sana yang menjadi mangsa buli dalam senyap, di mana suara mereka terkunci oleh ketakutan atau kekeliruan.

23. Mereka yang berani bersuara seringkali berdepan dengan ancaman dendam si pembuli, atau lebih menyedihkan, tidak menerima bantuan dan sokongan yang sewajarnya daripada pihak sekolah, malah ada yang diarah untuk diam.


24. Semua anak-anak ini akhirnya hanya boleh menanggung derita dalam kesunyian.


25. This August House must protect them.

26. Sehubungan itu, Jawatankuasa khas telah membentangkan TUJUH BELAS syor kepada kerajaan bagi menangani isu buli, khususnya KPM.

27. Antara syor-syor yang Puchong ingin mendapatkan perhatian dewan yang mulia ini ialah:

28. Pertama, Jawatankuasa mengesyorkan KPM untuk mewujudkan talian aduan buli khas yang mesra kanak-kanak, dengan fungsi seperti chat, bahasa yang mudah, dan disesuaikan dengan usia serta keupayaan mereka.

29. Ini adalah kerana Jawatankuasa mendapati melalui sesi libut urus bahawa saluran aduan buli KPM sekarang masih tidak mesra kanak-kanak dan menggunakan bahasa yang birokratik.

30. Bagi sekolah berasrama pula, oleh sebab mereka mungkin tidak boleh akses handphone atau internet, kotak aduan buli wajib diwujudkan.

31. Ada kanak-kanak rasa takut nak buat aduan buli kerana mereka rasa takut dibalas dendam oleh pembuli, Jawatankuasa berpendapat bahawa pilihan untuk buat aduan secara anonim perlu diberi kepada kanak-kanak, maklumat peribadi perlu dirahsiakan dan perlindungan yang sewajarnya perlu diberi.

32. Secara keseluruhannya, kanak-kanak perlu rasa selamat apabila mereka buat aduan dan mereka perlu rasa dibantu dan disokong oleh pihak sekolah selepas mereka buat aduan.

33. Seterusnya, Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan bahawa Garis Panduan Salah Laku Buli dipatuhi di setiap sekolah.

34. Kami mencadangkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Anti Buli yang terdiri daripada individu berkelayakan dan berpengalaman tempatan untuk memantau pematuhan sekolah.

35. Ia juga boleh menjadi saluran rayuan bagi kes-kes yang belum selesai tetapi telah ditutupkan oleh pihak sekolah.

36. Pada masa ini, dasar perlindungan kanak-kanak dan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli masih belum dijadikan modul wajib dalam latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG). 

37. Justeru, Jawatankuasa menyarankan agar KPM mewajibkan modul ini di IPG.

38. Guru-guru perlu dilatih dan diberi sokongan untuk mengendali kes salah laku buli secara holistik, bukan sahaja dari sudut melindungi dan memulihkan mangsa tetapi juga melaksanakan intervensi yang komprehensif dan bukan hanya tindakan disiplin terhadap pembuli bagi mencegah mereka daripada mengulangi tingkah laku buli.

39. Seterusnya, bagi sekolah berasrama, Jawatankuasa mengesyorkan KPM untuk membuat pelantikan warden dari kalangan bekas anggota tentera dan polis di sekolah berasrama dan bukannya guru, dengan saringan ketat dan latihan perlindungan kanak-kanak yang bersesuaian serta ujian psikologi.

40. Akhirnya, Jawatankuasa mengesyorkan KPWKM untuk mewujud semula talian khas untuk kanak-kanak seperti Child Helpline yang telah dihentikan pada 2015.

41. Child Helpline adalah sangat diperlukan untuk memberi sokongan emosi kepada kanak-kanak yang menghadapi krisis hidup dan tiada saluran untuk meluahkan perasaan. Bagi kes buli di sekolah, laporan perlu disalurkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

42. Oleh sebab Jawatankuasa hanya ada dua minggu untuk buat sesi libat urus supaya kami boleh bentang penyata di sesi parlimen ini juga kerana isu ini adalah mendesak, kebanyakan syor-syor yang kita ajukan adalah bersifat syor jangkah masa pendek.  

43. Secara keseluruhannya, Jawatankuasa mendapati budaya buli kini menular dari peringkat persekolahan ke institusi pengajian tinggi sehingga ke dunia pekerjaan mahupun di siber.

44. Jangan kita lupa tragedi kematian adik Zulfarhan Osman Zulkarnain di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di mana dia dibuli dengan kejam sampai mati.

45. Zulfarhan dipukul, diikat tangan dan kaki dan seluruh badannya ditekan dengan seterika panas oleh sekumpulan pelajar di UPNM sehingga dia mati.

46. Jangan kita lupakan Dr. Tay Tien Yaa, seorang doktor muda yang berpotensi, yang ditemui meninggal dunia akibat bunuh diri ketika berkhidmat di Hospital Lahad Datu, Sabah, di mana beliau menghadapi tekanan yang tinggi budaya buli tempat kerja.

51. Dalam menangani isu buli di sekolah, kita bukan sahaja perlu memfokuskan kepada tindakan membuli, tetapi juga budaya buli di Malaysia secara keseluruhannya.

52. Ini memerlukan perancangan yang komprehensif yang sudah tentu memerlukan input yang banyak di peringkat akar umbi agar ia benar-benar berkesan.

53. Justeru, saya telah berbincang dengan ahli-ahli jawatankuasa dan kami telah memutuskan untuk mengadakan sesi Townhall Anti-Buli serta sesi libat urus yang lebih menyeluruh bagi mendengar suara rakyat.

54. Selepas itu, kami akan membentangkan satu lagi penyata untuk membantu kerajaan dalam usaha memperangi budaya buli di Malaysia.

55. Dewan yang mulia ini merupakan badan pembuat dasar tertinggi di negara ini. 

56. Kita berupaya untuk mengubah budaya buli kepada budaya empati dan kasih sayang.

57. If not us, who? If not now, when?

58. Sekian sahaja dari Puchong pada hari ini. Naib Pengerusi JKP, YB Ampang, akan menggulung nanti.

59. Puchong ingin mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun:

        Anak bermain di tepi pantai,
        Jaga hati jangan biar terluka,
        Kalau bukan kita yang peduli,
        Siapa lagi yang boleh menyelamatkan mereka?

Sekian, terima kasih.

Berikut adalah pautan kepada Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM yang disebut dalam ucapan:

https://aduanbuli.moe.gov.my/menu-docman/17-spi-kpm-bilangan-12-tahun-2023-pelaksanaan-garis-panduan-pengurusan-salah-laku-buli-di-institusi-pendidikan-bawah-kementerian-pendidikan-malaysia/file