Wednesday, August 13, 2025

Parliamentary Written Questions to Minister of Women, Family and Community Development(Mesyuarat Kedua ,Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Tahun 2025 - 07)

 Bahasa Malaysian Version

13 August 2025

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan :

a. berapakah pengguna aktif portal sistem warga emas (eWarga Emas). Bagaimanakah portal ini dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan apakah rancangan dan sasaran Kementerian untuk memperluaskan penggunaan portal ini

b. adakah Kementerian berancang untuk membentang Rang Undang-Undang Warga Emas.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk memperkukuh sistem sokongan kepada warga emas selaras dengan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN). Pendigitalan perkhidmatan melalui portal eWarga Emas merupakan antara inisiatif utama ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan inklusif.

2. KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membangunkan Portal Warga Emas dan telah dilancarkan pada bulan Oktober 2024 sempena Sambutan Hari Warga Emas. Sehingga Jun 2025, Portal Warga Emas telah dilayari oleh lebih 28,000 pengguna. Pengguna sasaran portal ini adalah warga emas, penjaga, penyedia perkhidmatan dan agensi berkaitan.

3. Objektif portal ini adalah untuk:

   i. Membantu warga emas dan masyarakat dalam mendapatkan maklumat terkini berkaitan kemudahan, keperluan, kepakaran, peluang pekerjaan dan sebagainya;

   ii. Memudahkan pihak majikan, NGO atau pihak berkaitan untuk menyalurkan bantuan dan keperluan serta suai padan pekerjaan yang diperlukan oleh warga emas.

   iii. Warga Emas khususnya mendapat manfaat dan kesejahteraan terjamin daripada program yang disediakan oleh Kerajaan.

4. Kementerian akan memperluaskan penggunaan portal ini menerusi kempen kesedaran penggunaan portal, memperluaskan integrasi dengan sistem agensi lain serta pembangunan aplikasi mudah alih.

5. Sementara itu, pada masa ini, KPWKM memang bercadang untuk menggubal perundangan baharu yang lebih menyeluruh dan sistematik. Draf Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang sedang digubal ini adalah berteraskan hak asasi manusia dan bersifat holistik bagi memastikan warga emas tidak hanya dipelihara dari segi kebajikan seharian, tetapi juga diberi hak yang setara dalam struktur perundangan negara.

6. Langkah dan usaha KPWKM bagi mewujudkan satu perundangan khusus untuk warga emas, serta peruntukan perundangan sedia ada, diharap dapat memberi lebih perlindungan terhadap golongan ini secara menyeluruh dan berkesan selari dengan perubahan struktur demografi negara.

7. KPWKM komited untuk memperkukuh ekosistem sokongan warga emas melalui pendekatan digital, dasar berasaskan hak, dan kerjasama rentas sektor. Portal Warga Emas dan RUU Warga Emas adalah antara langkah strategik ke arah negara yang lebih inklusif dan mesra warga emas.

Sekian, terima kasih