Friday, July 25, 2025

Debate on The Consumer Credit Bill | 21 July 2025

 21 July 2025, Monday (Bahasa Melayu Version)


1.    Terima kasih Tuan Speaker memberi peluang kepada Puchong untuk membahas Rang Undang-Undang Kredit Pengguna.

2.    Pembentangan RUU ini adalah perlu dan tepat tepat pada masanya dengan pertumbuhan pesat perkhidmatan "Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL).

 

Perkembangan BNPL: Peluang dan Cabaran

3.    Perkhidmatan BNPL telah mengubah landskap kredit global dengan menawarkan alternatif kepada kad kredit tradisional dan pinjaman ansuran.

4.    BNPL menjadi semakin popular kerana kemudahan dan fleksibiliti yang ditawarkan kepada pengguna, terutamanya dalam era digital.

5.    Pasaran BNPL global dijangka mencapai USD38.6 bilion menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 26.1%.

6.    Di Malaysia, menurut Bank Negara, nilai transaksi 6 bulan BNPL telah meningkat 3 kali ganda dari separuh pertama tahun 2023 pada RM2.7 billion ke RM 9.3 billion bagi separuh pertama tahun 2025.

 

7.    Lebih daripada 100 juta transaksi telah dibuat pada 6 bulan pertama tahun ini sahaja dengan sejumlah 6.5 juta akaun BNPL aktif.

8.    Kajian telah menunjukkan bahawa BNPL sering digunakan oleh golongan B40 yang mungkin lebih terdedah kepada risiko keberhutangan.

9.    Penggunaan BNPL yang tidak terkawal boleh menyebabkan masalah kewangan yang serius.

10. Dengan itu, Puchong sokong RUU ini supaya terdapatnya pengawalseliaan pemain BNPL dan perlindugan pengguna kredit.


Yuran Transaksi Peniaga

11. Puchong ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini berkenaan dengan merchant fees, iaitu yuran peniaga yang dikenakan oleh syarikat perkhidmatan BNPL.

12. Di Malaysia, yuran peniaga BNPL boleh mencapai 5% hingga 6%, atau lebih tinggi, manakala yuran kad kredit/payment gateway (internet banking FPX seperti ipay88) biasanya antara 1.5% hingga 3.5%.

13. Sekarang peniaga sedia membayar yuran yang lebih tinggi kerana BNPL boleh meningkatkan retail conversion rates and average ticket sizes, di mana pengguna cenderung berbelanja lebih banyak apabila mereka menggunakan BNPL.

14. Apa yang kita perlu tahu ialah peniaga mengenakan harga runcit yang sama kepada pelanggan yang bayar tunai, kad kredit dan BNPL.

15. Oleh itu, kos transaksi yang lebih tinggi bagi transaksi BNPL sebenarnya ditanggung bersama (atau socialize) untuk semua pelanggan.

16. Dalam erti kata lain, pelanggan bayar tunai sebenarnya memberikan “subsidi” kepada pelanggan BNPL.

17. Ini adalah senario di mana peratusan transaksi BNPL adalah rendah berbanding dengan cara pembayaran yang lain.

18. Jika lebih ramai mengalih ke perkhidmatan BNPL, kita akan mengalami senario di mana kos transaksi secara keseluruhannya menjadi lebih tinggi dan ia akan menaikan harga barang untuk semua.

19. Kos transaksi ini yang lebih tinggi ini akan menjadi lebih jelas jika market share bagi salah satu pemain BNPL tertentu adalah tinggi, di mana ia menikmati kelebihan seumpama monopoli seperti Grab dan Shoppee sekarang.

20. Walaupun dari segi struktur pasaran adalah persaingan bebas, tetapi dengan barrier to entry, halangan untuk masuk pasaran, yang tinggi untuk mendapatkan market share, mereka boleh menikmati kelebihan pasaran seperti monopoli terutamanya dari segi fi yang dikenakan.

21. Oleh itu, Puchong ingin mendapatkan pandangan daripada kerajaan, sama ada kerajaan akan meletakkan peraturan untuk menghadkan kadar yuran peniaga ataupun kerajaan akan menggunakan market forces (kuasa pasaran kompetitif) untuk mengawal yuran transaksi BNPL. 


Impak dan Penyelasaian

22. Walaupun inovasi BNPL menawarkan kemudahan dan fleksibiliti kepada pengguna, kita juga perlu mengakui impak yang boleh ditimbulkan, iaitu:

i.       Pertama, peningkatan keberhutangan: Kemudahan BNPL boleh menggalakkan perbelanjaan berlebihan dan membawa kepada keberhutangan yang tidak terkawal, terutamanya di kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah. Kita perlu tahu bahawa kadar keberhutangan rakyat Malaysia adalah tinggi, pada kadar lebih daripada 80%.

ii.     Kedua, kurangnya kesedaran kewangan: Ramai pengguna tidak memahami sepenuhnya terma dan syarat BNPL, termasuk caj lewat, kadar faedah, dan implikasi kepada skor kredit mereka. Ini boleh membawa kepada kejutan yang tidak menyenangkan dan masalah kewangan jangka panjang.

iii.    Ketiga, kesan ke atas industri lain: Pertumbuhan pesat BNPL juga memberi kesan kepada industri kredit tradisional. Bank dan institusi kewangan lain perlu menyesuaikan diri untuk bersaing, tetapi dengan persaingan sengit ini juga boleh membawa kepada amalan pinjaman yang kurang bertanggungjawab jika tidak dikawal dengan betul.

 

23. Dengan ini, Puchong ingin mencadangkan beberapa keutamaan khusus untuk Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP):

i.        Memberi keutamaan kepada pendidikan dan kesedaran pengguna.

ii.       Membangunkan rangka kerja penguatkuasaan yang kukuh.

iii.     Mengkaji struktur yuran BNPL supaya tidak bersifat predatori  

iv.     Menyelaras rangka undang-undang dengan industri kredit lain supaya semua pemain kredit adalah di level playing field dan tiada industri yang mendapat kelebihan dari segi undang-undang. 

 

24. Akhir sekali, Puchong juga ingin mencadangkan kerajaan secara keseluruhannya untuk:

i.               Memasukkan literasi kewangan ke dalam kurikulum sekolah. Kanak-kanak dan remaja perlu diajar tentang pengurusan wang, kredit, dan hutang dari usia muda. Tuan Speaker, untuk Puchong, literasi kewangan adalah “life skill” kemahiran hidup yang sangat penting dan patut diberi lebih keutamaan dalam kurikulum sekolah.

ii.              Melancarkan kempen kesedaran awam. Kerajaan harus melancarkan kempen kesedaran awam untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan kredit yang berbeza tetapi juga mempromosikan literasi kewangan dan menggalakkan orang ramai untuk membuat keputusan yang termaklum (informed decision) bagaimanakah mereka nak belanja pendapatan mereka – membelanja, menyimpan atau melabur. 

 

25. Secara kesimpulannya, Puchong menyokong RUUKP untuk memastikan bahawa industri kredit pengguna di Malaysia dikawal selia dengan berkesan dan bahawa pengguna dilindungi. Walaubagaimanapun, kerajaan juga perlu mengambil langkah untuk memastikan pengguna tidak jatuh ke dalam perangkap hutang.

26. Sekian terima kasih.