Tuesday, November 26, 2024

Parliamentary Debate on the Supply Bill (Budget 2025), Ministry of Health | 26 November 2024

 26 November 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

Terima kasih Tan Sri Pengerusi kerana izinkan Puchong untuk turut serta dalam perbahasan jawatankuasa B dan P42.

1.     Saya ingin terus merujuk kepada B42 kepala 020600 Pembedahan Am dan 022400 kardiotrasik. 

2.     Puchong ingin mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan isu berkenaan dengan Pusat Jantung Hospital Serdang.

3.     Pusat Jantung Hospital Serdang dibuka pada Disember 2022 dan dibina dengan kos RM 546 juta.

4.     Apabila pusat jantung ini dibuka, ia dikatakan mampu memberi rawatan bertaraf dunia kepada pesakit jantung di Malaysia dan untuk mengurangkan pergantungan kepada Institut Jantung Negara (IJN).

5.     Namun, hanya selepas 18 bulan pada Mei 2024, keempat-empat bilik pembedahan telah tidak boleh digunakan kerana kesemuanya menghadapi masalah teknikal dan elektrik. 

6.     The Star menggunakan tajuk yang sangat tepat, “heart of the center is not beating”. Jantung pusat jantung tidak berdegup.  

7.     Bukan sahaja itu, pada masa yang sama, The Sun juga telah melaporkan bahawa sementara keempat-empat bilik pembedahan tidak berfungsi di new wing,  hanya 1 daripada 4 bilik pembedahan di old wing Hospital Serdang berfungsi.

8.     Puchong ingin mendapat pengesahan daripada KKM, adakah laporan ini benar? 

9.     Pada 7hb Jun, menteri umumkan bahawa 3 daripada 4 bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang sudah mula berfungsi sejak 5hb Jun. 

10.  Walaubagaimanapun, pada Julai 22, hanya 1 bulan selepas penyelenggaran, bilik pembedahan terpaksa tutup lagi selama 3 minggu. 

11.  Puchong ingin mendapatkan pengesahan daripada menteri, berapakah bilik pembedahan di kedua-dua new wing dan old wing yang berfungsi sekarang?

12.  Puchong juga ingin tanya sama ada fasiliti-fasiliti baru lain Pusat Jantung Hosptial Serdang seperti Makmal Jantung Invasif (ICL), mesin MRI 3.0 Tesla dll berfungsi dengan baik sekarang?

13.  Yang paling penting, Puchong ingin tanya menteri, adakah perkara seperti ini boleh diterima sebagai norma di Malaysia? Sebuah Pusat Jantung yang makan kos rakyat sebanyak RM546 juta berdepan dengan masalah teknikal seperti ini.

14.  Puchong cadangkan KKM untuk menjalankan satu siasatan dan audit, apakah prosedur atau siapakah yang menyebabkan kejadian yang memalukan ini berlaku dan mengambil langkah penambaikkan untuk memastikan perkara seperti ini tidak lagi berlaku.

15.  Mengambil pengajaran daripada isu ini, Puchong ingin cadangkan KKM untuk mengadakan satu dashboard di ibu pejabat KKB untuk tujuan memantau bukan sahaja bilik pembedahan, tetapi fasiliti-fasiliti penting hospital yang lain bagi semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh Malaysia, sama ada fasiliti-fasiliti ini berfungsi, sama ada penyelenggaraan berkala (scheduled maintenance) telah dibuat, jika tidak, siasatan dan tindakan perlu diambil. 

16.  Ini adalah untuk memastikan kementerian bukan hanya fire-fighting dalam menyelenggara fasiliti kesihatan apabila ada laporan surat khabar tetapi penyelenggaran boleh dibuat secara berkala dan sistematik.

17.  Seterusnya, saya ingin merujuk kepada B42 kepala 03000 Kesihatan Awam dan 030300 Kawalan Penyakit. 

18.  Saya ingin cadangkan KKM untuk mengadakan inisiatif pemasangan AED (automated external defibrillator) di premis awam di Malaysia bagi mengurangkan kadar kematian akibat serangan jantung di premis awam seperti gelanggang badminton. 

19.  Kajian telah menunjukkan bahawa AED mampu meningkatkan survival rate bagi mangsa serangan jantung setinggi 60 hingga 80%.

20.  Saya baca laporan pada Mac 2022, Menteri KKM masa itu umum bahawa pemasangan AED akan menjadi wajib menjelang tahun 2025.

21.  Tetapi jawapan lisan saya yang saya terima secara bertulis hari ini telah nyatakan bahawa pemasangan AED hanya akan menjadi sukarela. Saya ingin tanya adakah ini polisi muktamad KKM? 

22.  Saya juga amat bimbang apabila baca jawapan bahawa KKM tiada pangkalan data bilangan AED di negara kita, bilangan di agensi-agensi kerajaan pun tiada.

23.  Ini menunjukkan dengan jelas bahawa KKM tidak menitikberat pemasangan AED . 

24.  Puchong ingin menarik perhatian KKM supaya AED tidak dilupakan dalam banyak isu lain yang didepani KKM. 

25.  Puchong juga ingin menyeru KKM untuk mempertimbangkan lagi dasar untuk mewajibkan pemasangan AED seperti apa yang dilaksanakan di Taiwan melalui Taiwan Emergency Medical Services Act 2013.

26.  Puchong rasa kerajaan perlu sekurang-kurangnya mewajibkan pemasangan AED di premis awam berisiko tinggi seperti gelanggang badminton.

27.  Seterusnys, saya ingin merujuk kepada P42 kepala 00203 Perkhidmatan Kesihatan Bandar. 

28.  Puchong ingin menggunakan sikit masa untuk membangkitkan isu kawasan, iaitu isu kesesakan klinik kesihatan seri kembangan.

29.  Untuk makluman KKM, Klinik Kesihatan Seri Kembangan merupakan fasiliti klinik jenis 3, tetapi perlu memberi perkhidmatan kinik jenis satu, di mana kedatangan sehari melebihi 800 orang.

30.  Kesesakan ini paling serius bagi klinik ibu dan anak, di mana tidak cukup ruang menunggu yang mencukupi, menyebabkan ramai terpaksa menunggu di luar di bawah khemah sementara yang dipasang oleh pihak klinik.

31.  Di samping itu, ketidakcukupan ruang ini menyebabkan ibu dan anak terpaksa pergi bangunan yang berbeza untuk mendapat memberi perkhidmatan yang diperlukan dan ini adalah penyampaian perkhidmatan yang tidak berkesan.  

32.  Untuk pengetahuan KKM, terdapat satu bangunan yang merupakan kuarter lama yang dekat dengan bangunan klinik ibu dan anak yang boleh diubahsuai menjadi ruang tambahan klinik.

33.  Anggaran kos penambaikan adalah sekitar RM 1 juta.

34.  Puchong rasa jika KKM memperuntukkan kos ini, return on investment (ROI), dengan izin, perbelanjaan ini adalah sangat tinggi, ia bukan sahaja boleh menyelesaikan masalah kesesakan klinik seri kembangan, meningkatkan keselesaan pelanggan tetapi juga meningkatkan efisiensi penyampaian perkhidmatan.

35.  Oleh itu, Puchong memohon supaya sebahagian daripada RM 243 juta di bawah kepala 00203 boleh digunakan untuk mengubahsuaian kuarter lama klinik kesihatan seri kembangan untuk menjadikan ruang tambahan klinik ibu dan anak.