25 November 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan :
(a) jumlah automated external defibrillator (AED) di premis awam di Malaysia memandangkan ia boleh meningkatkan survival rate mangsa serangan jantung. Bandingkan dengan negara lain; dan
(b) perkembangan dalam melaksanakan dasar mewajibkan pemasangan AED di semua fasiliti awam menjelang 2025.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Peranti Automated External Defibrillator (AED) ialah peranti mudah alih penyelamat nyawa yang direka untuk merawat orang yang mengalami serangan Jantung Berhenti Mengejut atau Sudden Cardiac Arrest (SCA). Apabila terdapat individu mengalami SCA, orang awam di tempat kejadian, yang mempunyai pengetahuan cardiopulmonary resuscitation (CPR), boleh memulakan CPR sehingga ketibaan AED.
2. Setakat ini di Malaysia, tiada pangkalan data bilangan AED yang disediakan di tempat awam yang diwujudkan oleh mana-mana agensi kerajaan. Di samping itu, tiada perundangan atau mana-mana peraturan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan atau mana-mana perundangan pertubuhan yang mewajibkan penyediaan peranti perubatan AED di tempat awam, bangunan awam atau swasta.
3. Semakan mendapati negara Taiwan telah mempunyai perundangan untuk mewajibkan pemasangan AED di tempat awam tertentu, iaitu melalui Taiwan Emergency Medical Services Act (2013).
4. Di Malaysia, pemasangan AED masih bersifat secara sukarela. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah membangunkan Toolkits Public Access Defibrillator (PAD) yang menjelaskan panduan menyediakan PAD termasuk spesifikasi AED dan keperluan penyelenggaraan. Pihak KKM turut mempergiatkan usaha promosi kesedaran dan latihan CPR termasuk penggunaan AED dalam komuniti menerusi pelbagai program seperti KOSPEN, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi awam.
Sekian, terima kasih.