Monday, January 8, 2024

Parliamentary Debate: Unusual Heatwave Phenomenon Hits the Country


1. 
Terima kasih Tan Sri Speaker memberi ruang untuk Puchong membahaskan usul berkenaan dengan fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara.

2.     Hari ini Puchong ingin membahas topik ini dari perspektif jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

3.   Untuk jangka masa pendek, saya hanya ingin fokus kepada salah satu kesan cuaca panas, iaitu pembakaran terbuka, sama ada tempatan ataupun luar negara yang akan mengakibatkan jerebu yang bukan sahaja akan membawa kesan negatif kesihatan kepada rakyat tetapi juga mengakibatkan kerugian ekonomi.

Tan Sri Speaker,

4.  Untuk isu pembakaran terbuka tempatan, Puchong ada empat soalan utama kepada kementerian dan beberapa soalan sampingan dari empat soalan utama ini.

5.     Pertama, adakah Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan telah pun diaktifkan dan sama ada menteri telah pun memanggil mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan?

6.  Tindakan ini adalah penting untuk memastikan jentera kerajaan telah digerakkan untuk mencegah dan memantau pembakaran terbuka dan juga memastikan kesiapsiagaan jentera kerajaan untuk kerja-kerja pemadaman dan penguatkuasaan apabila pembakaran terbuka berlaku.

7.     Kedua, Puchong ingin menggesa kerajaan untuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur seperti tube well dan check dam di kawasan tanah gambut yang sering terbakar semasa musim panas seperti Johan Setia.

8.     Apakah jumlah terkini tube well dan check dam di Malaysia dan berapakah peratus adalah berfungsi? Bilakah infrastruktur ini diperiksa? When are they last checked? Dengan izin.

9.     Ketiga, Puchong ingin tahu usaha kerajaan dalam memantau hotspot.

10. Berapakah operasi rondaan darat dan udara (melalui drone) telah pun dijalankan dalam masa 1 bulan ini? Berapakah notis dan saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar? Adakah kementerian menggunakan sepenuhnya imej satelit Malaysian Space Agency (MYSA) melalui sistem Forest Fire Information System (FORFIS) dalam kerja-kerja pemantauan hotspot.  

11. Keempat, Puchong ingin tahu status persediaan aset dan inventori untuk pemadaman pembakaran terbuka jika ia berlaku seperti pam air, water tanker, kolam takungan dsb. Berapakah jumlah setiap jenis aset ini yang telah disediakan? Selain itu, adakah kerajaan bersedia jika operasi pembenihan awan dan water bombing diperlukan?

 

Tan Sri Speaker,

12.  Seterusnya, saya ingin mengalih ke isu pembakaran terbuka di negara jiran terutamanya Indonesia, yang akan mengakibatkan jerebu rentas sempadan.  

13. Puchong ingin tahu apakah usaha kerajaan perpaduan dalam menangani isu rumit ini.

14. Untuk jangka masa panjang, Puchong berpendapat bahawa parlimen ini perlu memperkenalkan Akta Jerebu Rentas Sempadan, Transboudary Haze Act, dengan izin.

15. Dengan ada akta ini, kerajaan boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana individu atau syarikat Malaysia yang menyebabkan jerebu di Malaysia tanpa mengira di mana pembakaran berlaku.

16. Singapura telah meluluskan undang-undang ini pada 2014.

17. Ada yang berpendapat bahawa Transboundary Haze Act hanya akan menjadi setakat kosmetik jika diperkenalkan memandangkan bukti pembakaran terbuka perlu diperolehi dari negara asing dan pendakwaan luar negara adalah sangat mencabarkan.

18.  Walaubagaimanapun, apa yang naysayer tidak pertimbangkan ialah, Transboudary Haze Act juga boleh ada klausa-klausa pencegahan.

19. Sebagai contoh, ia boleh mewajibkan syarikat-syarikat perladangan Malaysia untuk mendedahkan data satelit ladang di negara asing berisiko tinggi seperti Indonesia untuk mengesan hotspots mereka pada musim panas.

20. Akta ini juga boleh mewajibkan pengumuman pembelian tanah baharu di negara berisiko tinggi.

21. Dengan maklumat terbuka ini, syarikat-syarikat perladangan Malaysia akan menghadapi tekanan awam (dan RSPO) untuk bertindak atas hotspot mereka dan mengelakkan pemberian tanah yang dilapangkan melalui kaedah slash and burn.

22. Untuk makluman dewan yang mulia ini, selepas krisis jerebu pada 2019, masa saya menteri alam sekitar, kementerian telah mengarahkan Akademi Sains Malaysia (ASM) untuk menjalankan satu kajian keperluan kerangka undang-undang bagi pencemaran rentas sempadan dan menasihati kerajaan sama ada akta ini boleh berkesan atau tidak.

23.Pada 12 Februari 2020, Kabinet Pakatan Harapan masa itu telah membincangkan keputusan kajian ini dan bersetuju untuk memperkenalkan Akta Jerebu Rentas Sempadan.

24.Walaupun bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Langkah Sheraton berlaku dan kerajaan-kerajaan seterusnya telah mengambil pendirian untuk tidak meneruskan usaha ini.

25.  Puchong ingin tahu, apakah pendirian Kerajaan Perpaduan dalam isu memperkenalkan Transboundary Haze Act?


Akhirnya, Tan Sri Speaker,

26.  Kesan negatif perubahan iklim semakin dirasai oleh rakyat dengan hujan berintensiti tinggi luar biasa berlaku di Johor hanya 2 bulan yang lalu dan sekarang kita pula menghadapi cuaca panas luar biasa. 

27. Puchong ingin tahu sama ada mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim telah  diadakan selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan?

28. Apakah tindakan utama yang akan diambil oleh kerajaan untuk dalam mengadaptasi kesan-kesan negatif perubahan iklim yang akan melanda negara pada jangka masa pendek dan panjang?

29. Dan dalam topik yang sama, saya juga ingin tahu apakah perkembangan dalam penyediaan Rang Undang-undang Perubahan Iklim.


Itu sahaja yang Puchong ingin bangkitkan. Terima kasih.