Sunday, January 19, 2014

Wanita Bertudung Mesti Bebas daripada Diskriminasi

Muslimah bertudung mesti bebas daripada apa jua bentuk diskriminasi dan prejudis dalam proses pengambilan kerja. Syarikat sepatutnya mengambil pekerja berasaskan merit dan kecekapan semata-mata.

Baru-baru ini suatu status Facebook seorang wanita muslim bernama Mira Kamil telah tersebar luas apabila beliau berkongso pengalamannya melalui diskriminasi terhadap Muslimah bertudung. Beliau tidak diterima di beberapa kedai bertaraf antarabangsa di KLCC hanya kerana beliau memakai tudung. Kisahnya itu disahkan oleh Harian Metro apabila seorang wartawannya menyamar untuk mencari kerja di kedai-kedai tersebut dan ditolak mentah-mentah atas sebab yang sama. Keseluruhan proses itu dirakam dalam sebuah video di YouTube: https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=gCIxfbwMZGo


Wanita Muslim sepatutnya bebas mengamalkan tuntutan agama dan tidak wajar bagi majikan mahupun mana-mana pihak untuk memaksa mereka untuk memakai atau tidak memakai tudung. Wanita muslim bertudung seharusnya bebas dari apa jua bentuk diskriminasi dan prejudis, mereka tidak wajar berada di kedudukan yang lebih lemah dalam proses pengambilan kerja apatah lagi langsung tidak diterima mentah-mentah sepertimana yang telah dilaporkan.

Malahan isu ini bukan isu agama tetapi soal keadilan dan hak sama rata. Adalah amat perlu untuk melihat kembali keperluan untuk memasukkan klausa pakaian dalam bahagian berkaitan diskriminasi di dalam Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang terdapat dalam perlembagaan Amerika Syarikat dan Mexico. (Perkara 8, perenggan 2 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam”)

Akhir sekali, kami ingin menggesa syarikat-syarikat di Malaysia untuk melayan calon-calon pekerja mereka secara adil dan saksama dalam proses pengambilan kerja. Bagaimana seseorang wanita memilih untuk berpakaian tidak mencerminkan watak, kecekapan dan kemampuan beliau, yang menjadi ciri-ciri penting seorang pekerja yang produktif. Ekonomi akan mendapat manfaat apabila syarikat-syarikat di Malaysia bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi dan pekerja terbaik diambil untuk menguruskan syarikat.