Wednesday, March 1, 2023

8 Suggestions during Parliamentary Debate on 2023 Budget

Member of Parliament for Puchong full speech text at the Parliamentary Debate on 2023 Budget (Bahasa Malaysia Version)

-------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih Tuan Speaker. Hari ini, Puchong ingin memberi 8 cadangan kepada kerajaan. I’ll go straight to the point.

1. Mulakan semula program immunisasi HPV dan adakan program “catch-up”.
2. Setiap tahun kira-kira 1,800 wanita didiagnosis dengan kanser serviks dan kira-kira 900 meninggal dunia akibat penyakit itu.
3. Kanser serviks menduduki tempat ke-4 kanser paling kerap di kalangan wanita di Malaysia dan ke-2 kanser paling kerap di kalangan wanita berumur antara 15 dan 44 tahun.
4. Saringan HPV boleh mengurang insiden kanser serviks dengan ketara.
5. Oleh itu, cadangan Pertama Puchong kepada kerajaan ialah memasukkan saringan HPV dalam Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) memandangkan sekarang kerajaan sedia memasukan saringan penyakit kencing manis.
6. Dalam isu yang sama, saya juga ingin menarik perhatian YB-YB sekalian bahawa program vaksinasi HPV telah tergendala sejak permulaan wabak Covid-19.
7. Untuk makluman semua, program vaksinasi HPV telah diperkenalkan di Malaysia sejak 2010 untuk pelajar perempuan berumur 13 tahun.
8. Ia telah mendapat sambutan yang baik dengan lebih daripada 90% kumpulan sasaran mengambil suntikan vaksin HPV apabila diberi.
9. Walaubagaimanapun, pandemik COVID-19 telah menyebabkan sekolah-sekolah ditutup serta pengalihan peruntukkan kerajaan kepada program vaksinasi Covid-19.
10. Menurut statistik Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, lebih daripada 500,000 kanak-kanak perempuan telah terlepas suntikan vaksin HPV ataupun mendapat suntikan tidak lengkap.
11. Kesan situasi ini akan menyebabkan peningkatan kes kanser serviks dan penyakit-penyakit berkaitan pada tahun-tahun akan datang.
12. Dengan itu, cadangan ke-2 Puchong kepada kerajaan ialah memulakan semula Program Imunisasi HPV dan menjalankan program catch-up yang tersusun untuk mereka yang terlepas suntikan HPV.

Hepatitis B
1. Cadangan ke-3 saya adalah berkenaan dengan Hepatitis B.
2. Hepatitis B boleh membahayakan nyawa dengan membawa komplikasi serius, seperti sirosis atau gagal hati dan kanker hati.
3. Malaysia telah memperkenalkan vaksin Hepatitis B sejak tahun 1989 dan kini liputan vaksinasi Hepatitis B adalah lebih daripada 95%.
4. Walaubagaimanapun, insiden Hepatitis B telah meningkat daripada 2.26 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2010 kepada 12.65 pada 2015.
5. Antara cara utama penularan Heptatis B virus (HBV) ialah i. daripada ibu kepada bayi ii. daripada kanak-kanak kepada kanak-kanak iii. suntikan dan pemindahan darah yang tidak selamat dsb.
6. Jika kita boleh mencegah penularan daripada ibu kepada anak, maka insiden dari kanak-kanak juga dapat dikurangkan.
7. Untuk mencegah penularan Hepatitis B dari ibu kepada anak, Puchong mencadangkan kerajaan untuk menjadikan saringan HBV universal di kalangan wanita hamil seperti yang dijalankan di Singapura dan Hong Kong.
8. Sebenarnya, semua wanita hamil diperiksa secara rutin untuk HIV dan sifilis di klinik kerajaan pada lawatan pertama.
9. Apa yang diperlukan sekarang ialah menghantar sampel darah yang sama untuk saringan HBV. Kosnya adalah kurang daripada RM3 seorang wanita.
10. Cadangan ini hanya memerlukan peruntukkan kira-kira RM 1.5 juta dan tidak melibatkan perubahan proses.
11. Pendek kata, saringan hepatitis B universal di kalangan wanita hamil adalah low hanging fruit untuk menurunkan insiden Hepatitis B di Malaysia.

Pelancongan
1. Cadangan ke-4 dan ke-5 saya adalah berkenaan dengan isu pelancongan.
2. Kerajaan telah mengumumkan bahawa cukai barangan mewah akan diperkenalkan, saya bimbang bahawa cukai ini akan menjejas daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terutamanya di kalangan rakyat China di mana simpanan lebihan mereka telah mencecah RM 3.5 trilion dari 2020 hingga 2022 hasil daripada zero covid policy di China menurut JP Morgan Chase & Co.
3. Dengan itu, Puchong mencadangkan kerajaan untuk mengecualikan pelancong daripada cukai barangan mewah dengan menyediakan fasiliti bayaran balik cukai kepada golongan pelancong seperti VAT (value-added-tax) refund yang diamalkan di negara-negara lain seperti Singapura, Australia, Kanada, negara-negara EU, Korea Selatan dan Jepun.
4. Program Malaysia My Second Home (MM2H) telah mendapat sambutan yang baik sejak 2002.
5. Peserta-peserta MM2H ini bagaikan pelancong jangka masa panjang dan berbanding dengan pelancong-pelancong biasa, mereka lebih berkemungkinan besar untuk belanja di luar ekosistem pelancongan seperti melanggani mamak dan kedai-kedai tempatan.
6. MM2H berjaya menjana sejumlah RM 26.7 bilion hasil terkumpul untuk Malaysia dari 2002 hingga 2019.
7. Dengan strategi yang betul, program ini mempunyai potensi yang besar untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi.
8. Walaubagaimanapun, MM2H telah diberhentikan pada tahun 2020 dan apabila dihidupkan semula pada tahun 2021, ia telah diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.
9. Yang paling penting, kerajaan telah mengubah syarat-syarat MM2H secara mendadak dengan meningkatkan pendapatan bulanan minimum daripada RM10,000 sebulan kepada RM 40,000 dan simpanan deposit tetap ke RM 1 juta.
10. Perubahan ini di samping karena birokrasi telah menjadikan Malaysia tidak menarik dan kompetitif dalam pasaran ini berbanding dengan negara-negara jiran kita.
11. Dengan ini, Puchong ingin mencadangkan kerajaan untuk meletakkan balik MM2H ke Kementerian Pelancongan yang jauh lebih berpengalaman dalam memasarkan dan mengendali MM2H dan segera kaji semula perubahan dasar MM2H yang diperkenalkan pada tahun 2021.

Pengangkutan Awam
1. Sekarang saya ingin mengalih ke isu pengangkutan awam.
2. Kerajaan telah mengumum bahawa MRT 3 akan diteruskan dengan jumlah perbelanjaan kurang daripada RM 45 billion.
3. Walaupun ada penjimatan, jika kita mengambil kira MRT 1 dan 2 yang membelanja RM 21 billion dan RM 33 billion masing-masing, negara kita bakal belanja sejumlah RM 100 billion untuk membina MRT.
4. Walaubagaimanapun, tiada pengumuman peruntukkan yang signifikan setakat ini berkenaan dengan bas.
5. Perancangan bandar Kuala Lumpur telah mewujudkan urban sprawl, di mana perkembangan bandar menyebar ke kawasan sekeliling dan mengakibatkan corak pertumbuhan yang tidak berpusat.
6. Ini telah menyumbang ke pembangunan bandar-bandar satelit di Lembah Klang termasuk Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Puchong, Serdang dan lain-lain.
7. Walaupun rel boleh menjadi asas pengangkutan awam, jaringan bas yang lebih luas adalah sangat penting untuk menghubungkan kawasan-kawasan di Lembah Klang yang berciri urban sprawl dan mengatasi masalah first and last mile.
8. Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, jumlah bas di Lembah Klang adalah jauh lebih rendah berbanding dengan bandar-bandar di negara lain – hanya sekitar 1,500 bas Prasarana di Lembah Klang berbanding dengan 5,800 di Singapura, 6,000 di Hong Kong, 8,600 di London, dan 13,500 di Seoul.
9. Dari segi pengagihan sumber kerajaan, sudah bertahun-tahun, tumpuan yang diberi antara rel dan bas adalah seperti langit dan bumi.
10. Puchong ingin tanya, jika kita boleh belanja RM 100 bilion untuk membina MRT, boleh tak kita membelanja RM 2 bilion untuk menambah jumlah bas dan bas mini secara besaran-besaran di Klang Valley? Dengan RM 2 billion, kira-kira 5,000 bas dan bas mini boleh ditambah dan sekali gus menambah jumlah bas di Lembah Klang sebanyak 4 kali ganda.
11. We can do wonders with the RM 2 billion dan ini hanyalah 2% daripada jumlah perbelanjaaan MRT. Ini cadangan ke-6 Puchong.

Peningkatan Pendapatan
1. Seterusnya, saya ingin bergerak ke isu pendapatan rakyat.
2. Puchong sangat bimbang apabila mendengar statistik yang diberi oleh kerajaan berkenaan dengan simpanan KWSP, di mana jika kita kira, T20 memiliki 80% tabung KWSP manakala B40 memiliki hanya 1% tabung KWSP.
3. Saya khuatir bahawa jurang perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin akan menjadi ketara.
4. Sememangnya, Gini Coefficient Malaysia telah menurun dalam 2 dekad ini dari 46.2 pada tahun 2000 ke 40 pada tahun 2020, tren ini mungkin tidak akan berterusan.
5. Oleh itu, Puchong mengalu-alukan inisiatif yang dicadangkan dalam belanjawan ini yang berpotensi meningkat pendapatan rakyat terutamanya B40 dan M40, seperti pengurangan cukai, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), latihan kemahiran melalui HRD Corp serta inisiatif-inisiatif untuk memperkasa PMKS dalam jenis geran, pinjaman dan jaminan pembiayaan.
6. Walaubagaimanapun, inisiatif-inisiatif ini bukan baru dan pernah muncul dalam bentuk yang lebih kurang sama dalam belanjawan-belanjawan yang lalu.
7. Puchong ingin tahu apakah perbezaan dasar atau pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan?
8. Salah satu perbezaan pendekatan yang Puchong ingin cadangkan ialah supaya kementerian ekonomi mengukur hasil (measuring outcome) inisiatif-inisiatif ini.
9. Kerajaan harus buat longitudinal study dengan mengumpul data pendapatan dan perkembangan kerjaya setiap penerima dan membentangkan laporan kajian di parlimen dari masa ke semasa.
10. Dengan ini, parlimen boleh menilai secara objektif sama ada inisiatif-inisiatif ini benar-benar membantu kumpulan sasaran dan seterusnya memperhalusi dan memperbaikinya.
11. Our policies must be outcome-based and not theoretical or philosophical. Ini cadangan ke-7.

Akta Perubahan Iklim

1. Isu terakhir yang saya ingin sentuh ialah perubahan iklim.
2. Negara kita telah mengalami beberapa banjir besar dalam masa 2-3 tahun ini.
3. Di parlimen Puchong, kami mengalami banjir terbesar dalam sejarah pada tahun 2021 di Kampung Sri Aman, Kampung Tengah dan Kampung Bersatu.
4. Banjir seperti ini akan menjadi semakin kerap dan serius akibat perubahan iklim.
5. Tambahan lagi, keselamatan makanan akan menjadi semakin mencabar akibat perubahan iklim.
6. Rakyat akan rasa tertekan dengan kenaikan harga makanan akibat gangguan rantaian global makanan.
7. Ada lagi banyak kesan negatif akibat perubahan iklim dari segi kesihatan, sumber air, biodiversiti dsb, dan seperti krisis lain, mereka yang di paling bawah piramid akan paling terdedah dengan risikonya.
8. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menghadapi krisis perubahan iklim secara sistematik?
9. Di samping itu, kita juga perlu tanya, bagaimana Malaysia boleh meraih peluang apabila dunia menghadapi krisis perubahan iklim dan bergerak ke arah ekonomi rendah karbon?
10. In the midst of every crisis, lies great opportunity. Dengan izin.
11. Dengan membangunkan industri hijau di mana Malaysia mempunyai kelebihan daya saing, kita boleh menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan baharu.
12. Secara keseluruhannya, tindakan perubahan iklim yang perlu diambil adalah merentasi kementerian dan juga melibatkan ketiga-tiga kerajaan - kerajaan tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
13. Tindakan-tindakan ini juga perlu sistematik dan konsisten, tidak kira siapa jadi kerajaan.
14. Oleh itu, Malaysia amat memerlukan kerangka undang-undang untuk menginstitusikan tindakan perubahan iklim dan memastikan badan penyelarasan dan pelaksana mempunyai punca kuasa dan sumber yang mencukupi.
15. Dengan itu, Puchong berharap parlimen ini akan meluluskan Akta Perubahan Iklim seperti di negara UK, Sweden, Norway dan New Zealand dalam masa terdekat.
Untuk makluman dewan yang mulia ini,
16. Pada tahun 2019, masa saya masih Menteri Perubahan Iklim, saya telah mengumumkan di parlimen bahawa kami akan membentangkan RUU Perubahan Iklim di parlimen menjelang tahun 2021.
17. Tetapi malangnya Langkah Sheraton berlaku, usaha kita diberhentikan.
18. Selepas saya tanya berkali-kali di Parlimen, kerajaan masa itu akhirnya menjawab bahawa RUU tersebut akan dibentangkan pada 2025.
19. Minggu lepas, saya dengar Menteri sekarang juga memberi jawapan bahawa RUU Perubahan Iklim hanya akan dibentangkan dalam masa 2-3 tahun.
20. Puchong ingin tanya, mengapa ia tidak boleh dilakukan lebih awal?
21. Sudah 3 tahun selepas Langkah Sheraton, sudah tentunya kementerian sudah ada sikit kemajuan dalam proses penggubalan RUU ini?
22. Jika kita benar-benar fikir bahawa perubahan iklim adalah isu yang serius, if climate change is really urgent, maka kerajaan perlu ada tindakan yang setaraf.
23. Dengan ini, cadangan ke-8 Puchong ialah supaya kerajaan menggubal dan membentang RUU Perubahan Iklim pada tahun ini.
24. Ini bukan sasaran yang mustahil, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Itu sahaja 8 cadangan saya. Puchong sedia menyokong. Sekian terima kasih.