Sunday, February 15, 2015

Tidak berasas untuk mengaitkan rogol dengan pemakaian wanita

Kenyataan media oleh Yeo Bee Yiin, Pengerusi Wanita DAP Petaling Jaya Utara dan ADUN Damansara Utama, pada hari Jumaat 13 Februari 2015.

Statistik menunjukkan bahawa adalah tidak berasas untuk mengaitkan rogol dengan pemakaian wanita

Khutbah terbaru oleh JAIS yang mengaitkan pemakaian wanita dengan jenayah rogol, serta bantahan Ketua Wanita DAP Chong Eng dan diikuti penglibatan pihak polis telah mencetuskan perdebatan tentang sama ada wanita perlu membuat pilihan pemakaian tertentu bagi mengelak daripada dirogol.

Sekiranya dakwaan menutup aurat untuk mengelak dirogol itu benar, maka kita pastinya boleh melihat trend sedemikian di negeri-negeri di Malaysia, di mana negeri yang lebih konservatif di Malaysia mencatatkan bilangan kes rogol yang lebih rendah berbanding negeri yang lebih urban.

Menggunakan angka-angka terkini kes rogol mengikut negeri[1] serta populasi setiap negeri[2], kami telah mengira angka kes rogol bagi setiap 100,000 daripda populasi seperti rajah di bawah. Negeri yang menduduki tangga teratas adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis dan Kedah dengan 20.6, 20, 18.7 dan 17.64 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi. Negeri-negeri paling urban di Malaysia seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur berada di tangga paling bawah dengan kadar 11.47, 11.41 dan 9.28 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi.

Rajah: Bilangan kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi menurut Negeri
Negeri
Bilangan kes rogol (2009)
Populasi (juta)
Bilangan kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi
Negeri Sembilan
210
1.02
20.59
Kelantan
308
1.54
20.00
Perlis
43
0.23
18.70
Kedah
344
1.95
17.64
Johor
589
3.35
17.58
Pahang
221
1.5
14.73
Melaka
110
0.82
13.41
Terangganu
122
1.04
11.73
P.Pinang
179
1.56
11.47
Selangor
623
5.46
11.41
Perak
257
2.35
10.94
K.Lumpur
155
1.67
9.28
Sarawak
204
2.47
8.26
Sabah
261
3.21
8.13

Kami tidak dapat menjumpai korelasi positif atau negatif antara tahap konservatif sesebuah populasi dengan bilangan kes rogol. Pendek kata, angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa dakwaan bahawa kes rogol adalah berkaitan dengan pemakaian wanita adalah langsung tidak berasas.

Dapatan ini juga bertepatan dengan beberapa kajian sosial terhadap perogol yang menunjukkan bahawa pemakaian wanita bukanlah faktor penting dalam kes rogol. Apa yang mereka dapati bahawa sebalik daripada tarikan seksual, perogol mencari tanda-tanda kepasifan dan sikap mudah menyerah[3]. Secara ringkas, rogol ialah manifestasi kuasa dan kawalan, bukan seks[4]. Ini juga menjelaskan kenapa kebanyakan mangsa seks selalunya mempunyai sifat dominan, ketegasan, dan kehadiran sosial yang rendah. Di Malaysia, lebih daripada separuh mangsa seks berusia di bawah 16 tahun[5].

Kami menghormati sepenuhnya hak mana-mana pihak berkuasa agama, sama ada Islam, Budhha, Kristian, Hindu dan lain-lain, untuk mendidik penganutnya tentang tafsiran mereka terhadap nilai-nilai agama, termasuklah bagaimana cara pemakaian yang sepatutnya bagi seseorang wanita. Pun begitu, apabila pihak berkuasa agama mengaitkan pendidikan agama dengan penyakit sosial seperti rogol, dakwaan sedemikian mestilah disokong dengan fakta dan angka serta kajian yang sepatutnya. Ini adalah untuk mengelakkan penyakit sosial disalaherti, dan punca masalahnya disalahfahami, dan membawa kepada masalah sosial yang semakin meruncing.

Oleh yang demikian, kami ingin menyatakan wacana kami sendiri terhadap apa yang telah didakwa di dalam khutbah JAIS mengenai pemakaian wanita dan rogol. Wacana sebegini bukanlah untuk mencabar agama tetapi untuk menawarkan pandangan alternatif kepada masyarakat yang mempunyai kebebasan untuk meneroka dan menilai sendiri. Kami harap bahawa pihak polis akan turut menghargai dan menghormati hak untuk berwacana.

Akhir sekali, kami percaya bahawa wanita-wanita dari kalangan berbilang agama sepatutnya mempunyai hak menentukan sendiri cara mereka berpakaian berdasarkan kepercayaan sendiri semata-mata. Tidak ada wanita yang wajar dikritik sebagai kononnya mengundang dirogol apabila mereka melaksanakan kebebasan persendirian sedemikian.


[1] http://www.wccpenang.org/files/docs/RAPE_CASES_IN_MALAYSIA.pdf
[2] http://www.statistics.gov.my/portal/index.php?option=com_content&id=1215
[3] THERESA M. BEINER, SEXY DRESSING REVISITED: DOES TARGET DRESS PLAY A PART IN SEXUAL HARASSMENT CASES?, DUKE JOURNAL OF GENDER LAW & POLICY Volume 14:125 2007
[4] http://www.theguardian.com/commentisfree/2013/aug/29/rape-about-power-not-sex
[5] http://www.wao.org.my/Rape_40_5_1.htm