Tuesday, April 22, 2014

BANGKITLAH, HARIMAU-HARIMAU JELUTONG!

Ketika bahang mentari tengah hari panas menyucuk, sambil bendera gergasi DAP berkibar di udara, laungan ‘Karpal Singh, Karpal Singh, Karpal Singh’ memenuhi angkasa di jalanraya Pulau Pinang, saya menyertai puluhan ribu rakyat Malaysia mengiringi perjalanan terakhirnya; dan saya sedar bahawa pengerusi parti yang amat kami kasihi telah berjuang sebaik mungkin.


Saudara Karpal Singh telah membuktikan dengan hayatnya bahawa melakukan perkara yang benar, meski terpaksa berdegil sekali-sekala, adalah perkara yang sepatutnya dilakukan. Beliau telah mengajar kita bahawa hanya kebenaran dan keadilan akan bertahan diuji masa, dan akhirnya itu sahaja yang benar-benar penting.

Hari ini kita bersedih dengan pemergiannya. Beliau telah pergi pada waktu begitu banyak lagi hal yang belum selesai - demikian banyak ketidakadilan untuk diubati, banyak pelanggaran hak asasi untuk dibetulkan dan banyak salah-guna kuasa untuk dihentikan. Harimau Jelutong telah meninggalkan standard moral yang cukup tinggi untuk ditandingi, suatu kelompangan yang besar untuk diisi dan impian yang amat sukar untuk direalisasi. Namun kita harus terus maju.

“Perjuangan diteruskan. Satu Karpal Singh gugur, seratus Karpal Singh akan bangun,” katanya bulan lepas. Hari ini Harimau Jelutong telah pergi. Ahli politik muda, peguam muda dan anak muda Malaysia haris bangkit untuk menjadi sebahagian daripada ratusan Harimau Jelutong untuk mengisi kekosongan itu. Kita harus bangkit dan menyambung legasi beliau.

Kita tidak boleh membiarkan keselesaan peribadi, wang dan kuasa atau halangan dan cabaran menghalang kita dari menyatakan kebenaran, mendaulatkan keadilan dan menjaga keluhuran undang-undang.

Apabila kita mahu berkompromi, ingatlah akan semangatnya yang tidak goncang terhadap keadilan walaupun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau didakwa di bawah Akta Hasutan.

Apabila kita terdetik mahu berputus asa daripada perjuangan memperbaiki negara, ingatlah bahawa walaupun beliau lumpuh selepas kemalangan dalam tahun 2005, beliau terus berjuang walaupun menanggung kesakitan yang dahsyat.

Kita mungkin tidak fasih bercakap sepertinya, kita mungkin tidak berani sepertinya, kita mungkin sangat kerdil dan tidak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkannya, tetapi saya tahu, apabila kita semua boleh bersama-sama berjuang dengan keazaman yang jitu, negara Malaysia impiannya akan suatu hari nanti menjadi kenyataan.

Berehatlah dengan damai, Tuan Pengerusi, saudara dan prinsip-prinsip saudara akan terus diingati dalam perjuangan kami. Ratusan Harimau Jelutong akan terus mengaum di setiap sudut negara Malaysia demi menjulang tinggi keadilan dan menjaga semangat demokrasi di negara ini.

Jangan main-main.