Tuesday, March 12, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Higher Education | 12 March 2024

12 March 2024, Tuesday (Bahasa Melayu Version)



SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN TINGGI menyatakan:

(a) berapakah house officer (HO) yang sedang berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan apakah jumlah yang diperlukan untuk memberi perkhidmatan yang optimal; dan

(b) adakah PPUM sedang menggunakan “zero HO protocol”.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah diperuntukkan 400 perjawatan Pegawai Perubatan Siswazah / House Officer (PPS / HO) berstatus ‘contract of service’ yang dibayar menggunakan peruntukan OS29000 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

2. Sehingga 31 Januari 2024, jumlah pengisian PPS di PPUM adalah seramai 143 orang. Ini bermaksud terdapat 257 jawatan PPS di PPUM yang belum diisi sehingga tarikh yang dinyatakan.

3. Dalam hal ini, PPUM memerlukan sekurang-kurangnya 276 hingga 345 orang PPS untuk memberikan perkhidmatan yang optimum.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Untuk makluman, istilah zero HO protocol tidak pernah wujud dalam aspek pengoperasian hospital sebelum ini. Istilah ini baru diwujudkan sebagai merujuk kepada cadangan pengubahsuaian pengendalian tugas harian untuk mengatasi masalah kekurangan PPS di PPUM .

5. PPUM tidak pernah mengarahkan agar zero HO protocol diaktifkan di hospital ini. Ini disebabkan PPUM sentiasa komited untuk melaksanakan fungsinya sebagai sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) walaupun berhadapan dengan kekurangan PPS seperti yang dialami sekarang.

Sekian, terima kasih. 

Wednesday, March 6, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Home Affairs| 6 March 2024

6 March 2024, Wednesday (Bahasa Melayu Version)

SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan :
(a) berapakah tuala wanita dan sabun yang dibekalkan secara percuma kepada banduan wanita dan mereka yang menunggu hukuman mati (jika berbeza); dan

(b) langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan sanitori penjagaan haid di kalangan banduan wanita. 

JAWAPAN
Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemberian tuala wanita dalam bentuk 'kit asas kebersihan' dibekalkan kepada semua prospek wanita (banduanita) bagi semua kategori kesalahan termasuk prospek hukuman mati. Setiap prospek dibekalkan tuala wanita dalam tempoh sebulan dan akan dibekalkan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat keperluan tambahan. Setiap prospek juga akan dibekalkan dengan sebuku sabun dengan anggaran seberat 90 gram seorang.

Antara langkah-langkah yang diambil bagi memastikan sanitari penjagaan haid di kalangan prospek wanita, selain daripada pembekalan tuala wanita seperti yang dinyatakan tadi, adalah:

i. Sentiasa memberikan taklimat dan kesedaran kepada prospek wanita mengenai isu berkaitan penjagaan haid dan kesihatan;

ii. Pemeriksaan dan kawalan terhadap penggunaan tuala wanita sentiasa dititikberatkan supaya penggunaannya mengikut prosedur yang ditetapkan; dan

iii. Memastikan tuala wanita yang telah digunakan dibuang ke dalam tempat khas yang disediakan dan dilupuskan pada setiap hari. 

Tuesday, March 5, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Health | 5 March 2024

5 March 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan jumlah graduan perubatan setiap tahun : 

(a) berapakah yang mendapat jawatan house officer (HO) di hospital-hospital kerajaan; dan 

(b) jumlah graduan perubatan yang memilih untuk mendapat kerja di luar negara setiap tahun dari 2010 hingga sekarang. Apakah trennya.


JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Pada masa ini, sebanyak 12,198 slot latihan siswazah perubatan telah disediakan. Setakat 31 Disember 2023, sebanyak 6,480 daripada slot ini telah diisi dan bakinya akan diisi menerusi urusan pengambilan kontrak pada tahun 2024. 

2. Daripada jumlah tersebut, seramai 6,082 pegawai menjalani latihan siswazah perubatan di hospital Kementerian Kesihatan, manakala 398 orang lagi di tiga (3) Hospital Pengajar Universiti Awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. 

3. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan melalui Majlis Perubatan Malaysia tidak mempunyai maklumat berhubung graduan perubatan yang mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara. Justeru, Kementerian tidak dapat menyediakan trend graduan perubatan yang memilih untuk bekerja di luar negara. 

Sekian, terima kasih.