Tuesday, June 13, 2017

Cukai pelancongan tidak wajar, tidak tepat masa

Kenyataan media Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada hari Sabtu 10 June 2017 di Petaling Jaya.

Cukai pelancongan tidak wajar, tidak tepat masa

Kami amat bimbang dengan tindakan tergesa-gesa Putrajaya dalam mengenakan cukai pelancongan, yang mengakibatkan operator hotel serta mereka yang terlibat berada dalam keadaan keliru. Dilaporkan bahawa kadar cukai tersebut adalah antara RM20, RM10, RM5 dan RM2.50 sebilik untuk satu malam, bagi hotel dengan lima, empat, satu hingga tiga bintang dan penilaian lain masing-masing.

Pelaksanaan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang begitu cepat meski baru sahaja diluluskan beberapa bulan lalu menunjukkan bahawa kantung Putrajaya semakin kering dan memaksanya untuk memerah lebih banyak hasil daripada orang ramai dengan apa cara sekali pun.

Pelaksanaan pantas undang-undang yang diluluskan Parlimen ini adalah sangat berbeza dengan pelaksanaan Daftar Pelaku Jenayah Kanak-kanak , yang diperuntukkan dalam Pindaan Akta Kanak-kanak 2016. Pihak kerajaan tidak dapat melengkapkan daftar tersebut, yang mengandungi rekod pesalah yang telah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak termasuk jenayah seksual, walaupun sembilan bulan telah berlalu selepas undang-undang tersebut diluluskan Parlimen (April 2016) dan enam bulan setelah undang-undang tersebut diwartakan (Julai 2016). (Daftar tersebut kini siap dengan bilangan lebih 100 rekod pelaku jenayah kanak-kanak.) Sebaliknya, bagi Akta Cukai Pelancongan 2017 pula, kerajaan nampaknya tidak sabar lagi mahu melaksanakannya, meski ia belum diwartakan.

Kami tidak melihat keperluan untuk melaksanakan Akta Pelancongan 2017, dan kalau pun perlu, masanya sangatlah tidak sesuai. Pelaksanaan cukai ini akan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan, yang ketika ini sedang dalam proses pemulihan. Pelancongan di Malaysia mengalami susutan dalam nilai kemasukan pelancong pada tahun 2015, dengan merakamkan ketibaan pelancong seramai 25.72 juta berbanding 27.44 juta pada tahun 2014 dengan jumlah resit RM69.1 bilion pada tahun 2015, berbanding RM72 bilion pada tahun 2014. Ia pulih dengan perlahan untuk mencecah 26.76 juta ketibaan dengan jumlah resit RM82.1 bilion pada tahun 2016.

Mengenakan cukai pelancongan di saat jumlah ketibaan pelancongan belum pun pulih ke tahap tahun 2014 adalah bersifat ‘counter productive’ terhadap apa sahaja usaha yang telah dijalankan untuk mempertingkat angka ketibaan pelancong ke Malaysia. Tambahan pula, pelancongan domestik juga akan mungkin terkesan memandangkan pelancong tempatan juga harus membayar cukai pelancongan di samping cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang sudah sedia meningkatkan kos pelancongan dalam negeri.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, telah berkata bahawa hasil daripada cukai pelancongan ini adalah penting supaya pihak kerajaan dapat membangunkan industri pelancongan di Malaysia. Beliau menjangkakan cukai pelancongan ini akan membawa hasil yang lebih lumayan kepada kerajaan sekitar RM650 juta pada kadar penginapan 60 peratus di lebih 11 juta bilik hotel di seluruh negara, dan lebih daripada RM800 juta jika kadar penginapannya lebih daripada 80 peratus. Apakah jaminan cukai yang dikutip ini benar-benar akan digunakan untuk membangun dan mempromosikan industri pelancongan? Adakah pihak menteri akan menjelaskan bagaimana kementeriannya akan menggunakan dana yang terkumpul itu?

Walaupun industri pelancongan sedang meningkat menjadi sumber utama KDNK negara dan menyumbang secara signifikan kepada keberhasilan negara melalui cukai korporat dan pendapatan selain GST, Kementeri Pelancongan dan Kebudayaan telah mengalami pemotongan belanjawan berterusan sejak 2014 dengan jumlah peruntukan bagi kementerian itu berkurang daripada RM1.44 bilion pada tahun 2014, kepada RM1.37 bilion pada tahun 2015, RM1.22 bilion pada tahun 2016 , dan hanya RM1 bilion pada tahun 2017. Trend seperti ini membangkitkan kebimbangan sama ada lebih daripada RM600 juta hasil cukai pelancongan tersebut benar-benar akan digunakan untuk membangun dan mempromosi industri pelancongan di Malaysia. Atau adakah wang tersebut akan dibazirkan ke tempat lain?

Oleh yang demikian, kami menyeru Putrajaya supaya menghentikan pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017.