Friday, February 7, 2014

Krisis air adalah akibat penswastaan berat sebelah industri air di Selangor

Kenyataan Media Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama, pada hari Rabu 5 Februari 2014.

Masalah bekalan air sekarang bukanlah satu ‘ketentuan Tuhan’ bahkan satu krisis angkara manusia. Bukanlah kemarau yang mengakibatkan krisis air bahkan kegagalan Syabas mengurangkan kerugian air dalam masa beberapa tahun lalu.

Krisis air terkini bukan saja menyusahkan orang ramai malah merupakan satu tragedi kepada individu-individu seperti Puan Holifah Siman dari Taman Impian Ehsan yang keguguran anak kembarnya setelah terpaksa mengangkut berbaldi-baldi air dalam jangkamasa kekurangan bekalan air. Lebih menyedihkan lagi ialah krisis air sekarang ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya Syabas mampu mengurangkan kerugian air (non-revenue water, NRW) secara sistematik dalam beberapa tahun lalu.

Langkah pencatuan air pada masa sekarang menyasarkan untuk mengurangkan pengeluaran air mentah dari empangan Sungai Selangor dan Klang Gate pada kadar berjumlah 230 juta liter sehari, iaitu lebih kurang 5% daripada permintaan air di Selangor sebanyak 4,500 juta liter sehari. Dengan kata lain, jika dalam beberapa tahun lalu Syabas mampu memperbaiki prestasi NRW-nya setakat 5% sahaja pun, krisis air sekarang tidak mungkin terjadi. Ini akan menyelamatkan 2.2 juta penduduk Lembah Kelang daripada kesukaran pencatuan air dan Puan Holifah Siman mungkin masih riang.

Malangnya, di samping ‘operasi menyelamat’ yang begitu kerap dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, NRW Syabas masih lagi berada pada takat yang sama seperti tahun 2007 iaitu sebanyak 33%. Tahun lalu sahaja, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM271 juta pinjaman mudah kepada Syabas atas nama peningkatan fasiliti - RM120 juta dalam bulan Februari selepas krisis air yang berpanjangan dan RM151 juta lagi pada bulan Oktober. Apa hasil jutaan ringgit ini terhadap pengurangan NRW dan penyelesaian masalah air bagi rakyat Selangor?

Krisis yang berlaku akibat daripada bencana alam pastinya tidak dapat dielakkan tetapi krisis yang terhasil akibat sifat tamak haloba manusia dan egonya tidak boleh dimaafkan. Pada masa akan datang, krisis air buatan manusia tidak harus berulang lagi di Selangor. Dengan keadaan margin simpanan air Selangor jatuh di bawah paras 1% dan menyebabkannya terdedah kepada masalah air seperti sekarang, kita tidak lagi mampu untuk menangguhkan penstrukturan semula sistem bekalan air.

Oleh yang demikian, kita menyeru syarikat-syarikat konsesi air - Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd dan Kumpulan ABASS untuk memberi respon baik kepada tawaran baru Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM9.65 bilion menjelang 10 Mac 2014. Seandainya mereka menolak tawaran tersebut, kita berharap Kerajaan Persekutuan akan menghormati syarat-syarat memorandum persefahaman (MoU) dan segera menggunakan Fasal 114 Akta Industri Perkhidmatan Air untuk membenarkan pengambilalihan wajib ke atas syarikat-syarikat air ini demi kepentingan negara.

Yeo Bee Yin